Taktik 'handcarry luggage’ di KLIA cuba seludup dadah

11 May 2026 • 10:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Taktik 'handcarry luggage’ di KLIA cuba seludup dadah
Kes cubaan seludup dadah keluar negara melalui KLIA yang ditumpaskan JKDM pada April lalu. Foto: JKDM

SEPANG - Tiga dicekup berasingan dipercayai cuba menyeludup keluar dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, kes pertama direkodkan pada 24 April lalu melibatkan tangkapan seorang lelaki tempatan di Pintu Pelepasan Terminal 1 KLIA ketika hendak menaiki penerbangan ke Hong Kong.

Menurutnya, tangkapan kira-kira jam 9.20 pagi oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA dilakukan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Penerbangan (AVSEC) Malaysia Airports KLIA.

"Hasil imbasan ke atas bagasi yang dibawa lelaki itu mendapati imej yang mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut menemukan disyaki dadah jenis ketamin dengan berat kasar 3.6719 kilogram (kg) bernilai RM183,595.

"Modus operandi yang dikesan ialah menggunakan 'handcarry luggage’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam kes kedua, dua wanita tempatan ditahan Pintu Pelepasan Antarabangsa Terminal 1, KLIA pada 27 April lalu ketika hendak menaiki penerbangan ke Taipei, Taiwan.

Katanya, imbasan bagasi kedua-dua wanita terbabit mengesan imej mencurigakan sebelum penemuan disyaki dadah ketamin dengan berat kasar 4.4836 kg bernilai RM224,180.

"Kedua-dua kes ini masih dalam siasatan untuk tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Dalam kes berlainan, JKDM KLIA bertindak menahan seorang pengembara warga Indonesia di Ruang Pelepasan Pintu Antarabangsa Terminal 1 KLIA pada 2 April lalu, kerana disyaki membawa keluar mata wang Malaysia tanpa membuat pengisytiharan.

Jelasnya, tangkapan dengan kerjasama AVSEC itu mendapati pengembara terbabit gagal membuat pengikraran di dalam Borang Kastam 7 ke atas amaun tunai yang hendak dibawa keluar dari Malaysia dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019 di mana mengehendaki pelancong yang ingin membawa masuk atau keluar amaun tunai dan instrumen boleh niaga bersamaan atau melebihi AS$10,000 ke dalam atau ke luar Malaysia dikehendaki mengikrarkannya.

"Pemeriksaan ke atas bagasi miliknya menemui wang tunai RM129,500 yang disembunyikan dalam beg plastik hitam," ujarnya.