
KOTA KINABALU: Seorang warga Pakistan didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Malaysia selama lebih dua tahun.
Mursalin Khan mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Tertuduh yang memegang pasport Pakistan didapati terus berada di Malaysia selepas Pas Khas miliknya tamat tempoh pada 10 Februari 2024.
Dia didakwa tinggal melebihi tempoh dibenarkan selama dua tahun, tiga bulan dan 29 hari.
Kesalahan itu dikesan pada jam 11.45 pagi, 8 Jun lalu di kaunter hadapan Unit Rujukan Khas dan Kompaun, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Sabah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM10,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Imigresen Mohd Hairul Bona memberitahu mahkamah bahawa Mursalin ditahan oleh pegawai imigresen yang bertindak atas arahan Ketua Bahagian Penguatkuasaan.
Hasil siasatan mendapati tertuduh tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan selepas Pas Khasnya tamat tempoh berdasarkan memorandum pengesahan yang dikeluarkan oleh Unit Rujukan Khas dan Kompaun Jabatan Imigresen Sabah bertarikh 11 Jun 2026.
Mahkamah turut memerintahkan Mursalin diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Tertuduh kemudian menjelaskan denda yang dikenakan.






