
BAGI sesetengah penunggang motosikal, perjalanan jauh mungkin sinonim dengan kelajuan.
Namun, berbeza dengan The Tortoise Run yang memilih rentak lebih perlahan bagi memberi peluang kepada peserta menikmati perjalanan dan pemandangan.
Konvoi itu diasaskan bersama oleh warga Singapura, Farhan Abdullah atau Farhan Tre’ bersama rakannya yang mahu dikenali sebagai Zar.
Cetusan idea itu terbit selepas mereka menyedari terdapat penunggang yang selesa bergerak pada kelajuan santai, khususnya mereka menggunakan motosikal berkapasiti bawah 200cc.
Menurut Farhan, idea tersebut tercetus ketika dia dan Zar mula menunggang bersama sebelum menyedari perbezaan rentak antara mereka.
“Semasa kami mula-mula menunggang bersama, Zar bergerak jauh lebih perlahan daripada saya sehingga membuatkan saya tidak sabar.
“Apabila kami mula menganjurkan konvoi untuk peminat dan pengikut, kami sedar ada penunggang lain yang turut lebih selesa bergerak perlahan dan menggunakan motosikal berkuasa rendah.
“Jadi, kami memutuskan untuk memulakan The Tortoise Run bagi memenuhi keperluan mereka,” katanya kepada CitaRasa.
Jelasnya, nama The Tortoise Run sendiri menggambarkan konsep konvoi dianjurkan, iaitu bergerak perlahan seperti kura-kura, berbeza dengan sesetengah konvoi yang mengutamakan kelajuan.
Menariknya, kelab tersebut sentiasa menyasarkan penunggang baharu, dengan penyertaan terbuka kepada semua jenis motosikal.
Ketika ini, lebih separuh peserta merupakan penunggang berpengalaman yang menggunakan motosikal berkapasiti enjin besar.
Ramai yang pernah menyertai konvoi sebelum ini turut kembali bersama motosikal yang telah dinaik taraf.

Selain aktiviti permotoran secara santai, The Tortoise Run turut menjadi platform kepada penunggang dari Singapura yang mahu meneroka Malaysia buat kali pertama.
Menurut Farhan, terdapat penunggang, khususnya mereka yang baru memperoleh lesen, tidak mempunyai rakan untuk menunggang bersama menyertai konvoi mereka.
“Kami menganggap diri ini sebagai fasilitator untuk membantu mereka dalam perjalanan pertama memasuki Malaysia.
“Selepas itu, mereka boleh meneroka sendiri dan ramai yang telah berbuat demikian,” katanya.
Kebanyakan konvoi merupakan perjalanan sehari atau pada hujung minggu yang lazimnya tertumpu di Johor.
Namun, mereka pernah membawa peserta ke Melaka dan destinasi paling jauh adalah Port Dickson, Negeri Sembilan.
Bagi memastikan keselamatan peserta, setiap perjalanan dirancang dengan teliti termasuk membuat tinjauan awal, menentukan laluan serta lokasi berhenti rehat.
Kumpulan konvoi juga dipecahkan mengikut kapasiti motosikal dan kelajuan yang selesa.
Beberapa kru bertindak sebagai marshal, manakala ‘penyapu’ ditempatkan di bahagian belakang bagi memastikan tiada peserta tertinggal serta membantu sekiranya berlaku kerosakan atau kemalangan.
“Kami juga menyediakan kenderaan sokongan dan petugas perubatan kerana apa sahaja boleh berlaku apabila melibatkan jumlah penunggang yang ramai.
“Tidak kira sekecil mana konvoi, kami akan memastikan kenderaan sokongan dan petugas perubatan sentiasa tersedia,” katanya.
Antara pengalaman yang paling diingati Farhan adalah ketika membawa peserta ke Bukit Kepong, Muar, Johor.
Ketika membuat tinjauan laluan, mereka mendapati terdapat Galeri Darurat Bukit Kepong.
Kebanyakan peserta dari Singapura kurang mengetahui sejarah lokasi berkenaan.
Mereka kemudian bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk menganjurkan lawatan ke galeri tersebut.
Bagi Farhan, pengalaman itu membuktikan bahawa aktiviti berkonvoi bukan sekadar perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain.
Sebaliknya, ia membuka ruang kepada peserta untuk mengenali tempat menarik dan sejarah yang terdapat di Malaysia.
“Kami mahu penunggang tahu bahawa Johor dan Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati, selain mengisi minyak dan menikmati makanan murah.
“Ada banyak tempat menarik yang boleh diterokai dan kami mahu mereka merasai pengalaman menunggang di sini, sama ada sendiri atau bersama kumpulan mereka,” katanya.
The post Warga Singapura ride ‘perlahan’ teroka Malaysia appeared first on Kosmo Online.

