Waris Si Mati Wajib Bayar Cukai Tertunggak LHDN – MKI

LocalPersonal Finance
26 Jan 2026 • 10:40 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) telah memutuskan hukum waris individu yang sudah meninggal dunia untuk membayar tunggakan cukai pendapatan yang ditinggalkan si mati adalah wajib.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr Nooh Gadut yang mengesahkan perkara itu memaklumkan bahawa isu berkenaan sudah dibincangkan pada mesyuarat ke-122 jawatankuasa terbabit.

“Muzakarah sudah membincangkan dan memutuskan bahawa waris wajib membayar tunggakan cukai pendapatan ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

“Muzakarah berpandangan bahawa tunggakan cukai pendapatan si mati adalah menjadi hutang yang wajib diselesaikan oleh waris dengan menggunakan harta si mati sahaja,” katanya dipetik Berita Harian.

Waris si mati bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan cukai – LHDN

Pada Mei 2023 lalu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pernah menegaskan waris kepada individu beragama Islam yang sudah meninggal dunia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan cukai pendapatan si mati.

Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik, walaupun individu terbabit disahkan sudah meninggal dunia.

Surat rasmi akan dihantar kepada wakil atau pentadbir harta pusaka si mati

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN pada ketika itu, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, surat rasmi akan dihantar kepada wakil sah atau pentadbir harta pusaka si mati bagi menuntut mereka melunaskan tunggakan cukai pendapatan si mati.

Menurutnya, LHDN masih perlu mencari wakil sah atau pentadbiran pusaka si mati jika pembayaran cukai terbabit ada meninggalkan harta kerana tunggakan hasil tidak boleh dibiarkan.

“Tunggakan pembayar cukai yang sudah meninggal dunia hanya akan dihapus kira selepas suatu tempoh apabila semua prosedur berkenaan dibuat,” katanya.

Terdahulu, isu mengenai pembayaran cukai individu yang sudah meninggal dunia ini mendapat pandangan berbeza mufti dalam konteks syarak.

Mufti berbeza pendapat sebelum MKI jalankan kajian syarak

Mufti Pulau Pinang ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan bekas Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berpandangan tunggakan cukai si mati harus dibayar waris sebelum baki harta difaraidkan.

Sementara Mufti Pahang pula pada waktu itu, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berpendapat berdasarkan syariat Islam, pewaris harta pusaka pembayar cukai pendapatan si mati tidak perlu membayar cukai tertunggak yang ditinggalkan si mati.

Susulan itu, Jawatankuasa Muzakarah MKI telah menjalankan kajian syarak dan mendapatkan pandangan pemegang taruh sebelum pada mesyuaratnya yang ke-122 pada Oktober 2023 memutuskan bayaran tunggakan cukai si mati adalah wajib.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Senarai Pelepasan Cukai LHDN Bagi Tahun Taksiran 2025 Yang Anda Patut Tahu