Waris tempah satu dewan, tonton filem Mat Kilau

Movie
5 Jul 2022 • 5:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Video yang memaparkan kumpulan yang menggelarkan diri mereka waris Mat Kilau hadir ke panggung wayang dan menempah satu dewan untuk menonton filem itu bersama-sama tular di TikTok.

Seorang pengguna TikTok yang menggunakan akaun @Naz Official berkongsi detik-detik perjumpaan waris pahlawan Melayu itu.

"Bila waris Mat Kilau tempah satu dewan sekali pakej air dan 'popcorn' tengok Mat Kilau," tulisnya.

Dalam video itu, turut dijelaskan mengenai susur galur waris yang hadir menonton filem tersebut.

"Mereka semua ini keturunan isteri pertama Mat Kilau iaitu Yang Chik seperti dalam filem ini. Mat Kilau dan Yang Chik ada satu-satunya anak perempuan iaitu Khatijah.

"Dan inilah waris-warisnya. Banyak kisah-kisah pasal Mat Kilau yang boleh diceritakan. Kisah yang hanya dikongsi dengan keluarga dan tiada diceritakan dalam filem Mat Kilau ini. Kalau ada rezeki nanti boleh kongsi bersama semua," tulisnya.

Turut kelihatan, kain rentang yang tertera tulisan 'Perjumpaan Waris Mat Kilau dari Susur Galur Anaknya, Khatijah'.

Sebelum ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya meraih kutipan RM43.9 juta jualan tiket dalam tempoh 12 hari tayangan.

Kata Finas, fenomena filem itu menjadi penanda aras terhadap sokongan filem Melayu, sekali gus memberi galakan kepada penerbit dalam meningkatkan penghasilan karya berkualiti untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.