Warisan Persoal Keselamatan Jalan Berlubang Di KK Selepas Kemalangan Maut

4 Feb 2025 • 6:35 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Jalan berlubang di KK, sampai bila nyawa perlu jadi taruhan?

Warisan Persoal Keselamatan Jalan Berlubang Di KK Selepas Kemalangan Maut. Selepas kemalangan jalan berlubang maut, Warisan mempersoalkan keselamatan dan penjagaan jalan KK

Isu jalan berlubang kembali hangat diperkatakan selepas kemalangan tragis melibatkan seorang penunggang motosikal yang maut akibat terlanggar lubang di jejantas Lido di sini.

Kejadian yang berlaku pada 3 Februari itu telah menimbulkan persoalan besar mengenai keberkesanan penyelenggaraan jalan raya di Sabah, terutamanya di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan.

image is not available
Warisan Persoal Keselamatan Jalan Berlubang Di KK Selepas Kemalangan Maut

Parti Warisan, melalui Ketua Penerangan Bahagian Kota Kinabalu, Samuel Wong, mempersoalkan mengapa masalah ini masih berlarutan dan hanya diambil serius selepas insiden maut berlaku.

“Sepatutnya kerajaan memastikan kontraktor menyelenggara jalan dengan baik demi keselamatan pengguna. Kenapa setiap kali perlu ada tragedi dulu sebelum tindakan diambil?” katanya, menurut laporan media tempatan.

Lubang Jalan: ‘Hiasan’ Biasa di KK?

Lebih mengejutkan, lubang yang meragut nyawa penunggang motosikal itu dikatakan sudah lama wujud sebelum kejadian berlaku. Ini menimbulkan persoalan: Kenapa tiada tindakan awal?

Penduduk Kota Kinabalu pasti sudah lali melihat lubang-lubang jalan di sekitar bandar ini. Namun, haruskan rakyat Sabah terus ‘redha’ dengan keadaan ini, sedangkan mereka membayar cukai setiap tahun? Bukankah jalan raya yang selamat itu hak asas setiap pengguna?

“Kenapa rakyat Sabah diperlakukan begini? Kami bayar cukai, tapi kami juga yang terpaksa hadapi risiko nyawa setiap kali menggunakan jalan raya,” tambah Wong.

Tanggungjawab Siapa Sebenarnya?

Susulan kejadian ini, Wong turut mencabar Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmy Yahya, untuk menjelaskan mengapa isu penyelenggaraan jalan masih menjadi masalah meskipun kerajaan telah melantik syarikat swasta untuk menjalankan tugas tersebut.

Apa yang lebih ironinya, lubang yang menyebabkan kemalangan ini akhirnya ditampal pada 4 Februari – sehari selepas kejadian. Turut diperbaiki adalah beberapa lubang lain di sepanjang Jalan Lintas.

Mungkinkah ini satu kebetulan atau memang budaya kerja ‘bila sudah kena baru mahu bertindak’ yang masih menjadi amalan?

Apa pun, nyawa yang sudah terkorban tidak boleh dikembalikan. Tetapi persoalan yang lebih besar: adakah kita akan terus menunggu tragedi lain sebelum langkah serius diambil?

Rakyat Sabah berhak mendapat jalan raya yang selamat.

Baca juga artikel yang berkaitan: