Warisan:  Tidak gambarkan Kerajaan Perpaduan

Politics
13 Jan 2023 • 1:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Barisan Kabinet Sabah baharu tidak menggambarkan Kerajaan Perpaduan yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Shafie menyifatkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebagai membelakangi saranan Anwar dan melanggar persetujuan yang dicapai awal minggu ini.

Beliau berkata Warisan pada Isnin telah memberikan sokongan penuh kepada Perdana Menteri agar Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Sabah.

“Saranan ini turut mendapat persetujuan dan sokongan Umno serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat yang turut hadir dalam pertemuan itu.

“Penubuhan pantas jawatankuasa khas juga ditetapkan untuk membentangkan butiran berkaitan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah yang bertujuan untuk menyelesaikan krisis politik di negeri ini,” kata Shafie dalam satu kenyataan, Khamis.

Barisan rombakan Hajiji hanya memasukkan wakil rakyat daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional/Umno.

“Majlis angkat sumpah Menteri Kabinet Sabah yang baharu berlangsung walaupun ia tidak menggambarkan Kerajaan Perpaduan,” kata Shafie.

Shafie menekankan kepentingan Kerajaan Perpaduan yang tulen merangkumi semua pihak yang mengambil bahagian dalam Kerajaan di peringkat persekutuan, kerana ini dapat mengatasi krisis politik di Sabah dan mengukuhkan tadbir urus negara. Sementara itu, Kerajaan Negeri digesa segera membentangkan rang undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti di DUN Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan Assafal P Alian berkata perkara itu sehingga kini belum dilaksanakan walaupun Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sudah menyatakan komitmen melalui beberapa kenyataan mengenainya sejak tahun lalu.

“Setelah melihat kepada apa yang berlaku kebelakangan ini, serta pergolakan politik Kerajaan Negeri, saya menggesa agar Sabah segera membentangkan RUU Anti Lompat Parti.

“Langkah ini selari dengan apa yang telah dibuat di peringkat persekutuan dan juga beberapa negeri lain yang bertujuan untuk mengembalikan kepercayaan terhadap demokrasi dan sistem politik negara kita,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tungku itu dalam kenyataan, pada Khamis.

Assafal berkata, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) atau lebih dikenali sebagai RUU Anti Lompat Parti, yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti mula berkuat kuasa sejak 5 Okt tahun lepas.

“Selaras dengan pindaan itu, Kerajaan Persekutuan telah meminta kerajaan negeri mengguna pakai pindaan yang digubal di bawah Jadual Ke-8 Pindaan Perlembagaan itu untuk terpakai kepada Adun.

“Bagi Kerajaan Sabah, pemakaian RUU Anti Lompat Parti, setakat ini masih lagi belum dilaksanakan walaupun sudah ada beberapa kenyataan media sejak awal Nov 2022 oleh Ketua Menteri yang memberikan komitmen untuk tujuan tersebut.

“Jika RUU ini dibentang dan diluluskan di DUN Sabah, ia akan dapat membawa kepada kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan negeri sekurang-kurangnya untuk satu tempoh masa yang jelas,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.