Warisan tuntut hak kekal rakyat Sabah dan Sarawak

Politics
18 Nov 2022 • 2:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Calon Parti Warisan (Warisan) Datuk Mohd Azis Jamman menyelar Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kononnya Parti Warisan (Warisan) hanya berminat kepada jawatan Perdana Menteri sekali gus menolak Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Menurutnya, apa yang Warisan perjuangkan adalah menuntut hak kekal khasnya melibatkan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Jawatan TPM bukan jawatan pemegang kuasa Eksekutif dan hanya bersifat sementara. Jika Perdana Menteri bertukar, dasar berubah, sudah tentu tiada jaminan jawatan tanpa kuasa itu kekal kepada Sabah.

“Malah jawatan itu hanya akan menjadikan pemimpin Sabah sebagai boneka dan ‘pak turut’ kepada sesiapa yang akan jadi Perdana Menteri.

“Jika tidak ikut, maka PM punya kuasa menukar serta memecat TPM.

“Hajiji dan Bung Moktar perlu sedar, selama ini mereka masih sujud kepada Malaya….Tetapi jika mandat itu diberikan kepada Warisan, kami akan tuntut seperti terkandung MA63,” katanya dalam siri ceramah di Kampung Cenderamata Likas, malam Rabu.

Mohd Azis yang juga Ketua Penerangan Warisan berkata, Hajiji serta Bung Moktar perlu sedar berapa ramai TPM sudah dipecat serta dibuang, termasuk pengerusi parti Hajiji sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Rakyat pada 19 November ini (Sabtu) perlu menolak boneka di Parlimen nanti sekali gus hanya tunduk kepada semua arahan Malaya.

“Warisan menolak jawatan berkenaan kerana rakyat Sabah lebih memerlukan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), rakyat Sabah bukannya mahukan jawatan TPM.

“Presiden Warisan sendiri pernah ditawarkan jawatan TPM ketika pemerintahan kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin dan ketika kerajaan Persekutuan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri. Kita tolak tawaran itu,” katanya.

Menurut Mohd Azis, apa yang rakyat Sabah dan Sarawak mahu ialah pelaksanaan sepenuhnya MA63 yang dipersetujui sekian lama antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu ketika pembentukan Malaysia.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.