Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan bahawa kerajaan berpandangan jelas mengenai hak wartawan untuk bertanya apa jua soalan ketika menjalankan tugas mereka.
Beliau berkata demikian pada sidang media susulan isu yang dibangkitkan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAM) berhubung layanan terhadap wakil media.
“Pendirian kerajaan sangat jelas iaitu wartawan berhak untuk bertanya apa juga soalan dalam mereka menjalankan tugas. Dan setiap jawapan atau respon yang diberikan oleh menteri perlulah disampaikan dengan berhemah serta berlandaskan prinsip keterbukaan,” katanya.
Menurut Fahmi, beliau telah berhubung dengan menteri berkaitan isu berkenaan, yang juga telah memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut.
“Saya telah menyampaikan pandangan bahawa Perdana Menteri sendiri terbuka untuk menerima sebarang soalan. Pendirian kerajaan ialah wartawan berhak bertanya apa jua soalan,” katanya lagi.
Baca juga:
Ketika ditanya sama ada menteri terbabit akan membuat permohonan maaf terbuka kepada media, Fahmi berkata perkara itu diserahkan kepada budi bicara menteri berkenaan dan pasukan medianya.
Sidang media itu turut menyentuh isu lain, termasuk berkenaan permainan dalam talian Roblox yang dikatakan sedang diteliti kerajaan.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, menjadi tumpuan apabila didakwa menjawab dengan nada tegas terhadap soalan seorang wartawan berkaitan penggunaan bahasa Inggeris pada nama acara tersebut semasa sidang media pra-pelancaran projek pelancongan “I Lite U” pada 29 Oktober 2025.
The post ‘Wartawan berhak ajukan soalan, Menteri perlu jawab berhemah – Fahmi Fadzil appeared first on The Reporter.



