Perjanjian Malaysia-AS: Mustahil! Mana mungkin, kedaulatan negara tak pernah tergadai -Fahmi

LocalPolitics
29 Oct 2025 • 4:21 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perjanjian Malaysia-AS hilangkan kedaulatan negara?

Dakwaan bahawa perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menggugat kedaulatan negara adalah tidak benar, tegas Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau menegaskan, setiap perjanjian perdagangan yang dimeterai kerajaan melalui proses penelitian rapi termasuk oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), bagi memastikan kepentingan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Tidak mungkin Kabinet atau Jemaah Menteri akan bersetuju dengan mana-mana perjanjian yang menjejaskan kedaulatan negara. Semua perjanjian akan diteliti oleh AGC terlebih dahulu kerana fungsi dan tanggungjawab AGC adalah menasihati kerajaan.
“Mana mungkin Malaysia sampai ke tahap menjual kedaulatan negara? Ini mustahil,” katanya ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi 2025 di sini, hari ini.

image is not available

Kredit Foto: BERNAMA

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Ni Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Perjanjian Malaysia-AS: Kedaulatan negara tak pernah tergadai

Fahmi berkata, tuduhan kononnya kerajaan menjual kedaulatan negara melalui perjanjian perdagangan itu bukan sahaja tidak berasas, malah boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Kedaulatan negara tidak pernah tergadai. Satu-satunya ketika ia tercabar ialah sewaktu Pulau Batu Puteh dilepaskan, dan itu amat dikesali.
“Selain daripada itu, tidak pernah berlaku,” katanya lagi.

image is not available

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya mendapatkan penjelasan daripada sumber rasmi kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung Ahad lalu, Malaysia dan AS memeterai perjanjian komprehensif bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta mempertingkat daya tahan rantaian bekalan.

Melalui perjanjian itu, Malaysia bersetuju memberi akses pasaran keutamaan kepada eksport barangan perindustrian AS termasuk bahan kimia, jentera, kelengkapan elektrik, logam dan kenderaan penumpang, selain produk pertanian seperti tenusu, ayam itik dan beras.

Sebagai timbal balas, AS akan mengekalkan tarif pada kadar 19 peratus terhadap barangan Malaysia, manakala beberapa produk terpilih akan menikmati kadar sifar (0 peratus) di bawah kategori rakan kongsi sejajar.

image is not available

Malaysia turut bersetuju untuk tidak mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport mineral penting dan unsur nadir bumi ke AS, serta akan bekerjasama dengan syarikat Amerika bagi menjamin kestabilan dan kepastian dalam peningkatan kapasiti pengeluaran negara.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir semalam merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas kali terakhir menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Sidang kemuncak itu juga menandakan kemuncak Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 sebelum Filipina mengambil alih kepengerusian ASEAN bermula 1 Januari 2026.

Sumber: Bernama