
KUALA LUMPUR - Wartawan bukan sekadar bertugas menyampaikan berita, sebaliknya memainkan peranan penting sebagai mata, telinga dan pena untuk rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, lanskap media semakin mencabar justeru, adalah amat penting untuk semua wartawan berpegang kepada integriti.

Menurut beliau, penghargaan tinggi wajar diberikan kepada golongan terbabit atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan amanah demi rakyat dan negara.
“Kalian semua adalah mata yang melihat realiti, telinga yang mendengar denyut nadi rakyat dan pena yang mencorakkan pemahaman masyarakat terhadap perkara-perkara penting dan dasar kerajaan.
“Peranan wartawan yang berpegang kepada prinsip ketelusan, tanggungjawab dan integriti amat dihargai,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.
Fadillah menyatakan demikian sempena Hari Wartawan Nasional yang telah digazetkan pada 29 Mei setiap tahun.
Beliau menarik perhatian, demokrasi tidak akan mampu berfungsi dengan matang tanpa usaha dan penat lelah semua pengamal media.
“Suara rakyat (juga) mungkin tenggelam dalam gelombang maklumat yang mengelirukan.
“Saya percaya, media yang bebas dan bertanggungjawab adalah rakan strategik kerajaan dalam membina negara yang progresif, bersatu dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menggesa semua pengamal nedia menyampaikan kebenaran dan memainkan peranan sebagai suara rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melahirkan harapan untuk melihat pengamal media meneruskan komitmen dan amalan beretika dalam menyampaikan maklumat sahih.
"Ini demi membina sebuah negara yang bermaklumat dan berintegriti," katanya.
Kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional atau HAWANA tahun ini akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Jun depan.
Ia bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri sekitar 1,000 pengamal media tempatan serta luar negara.
Sejak pertama kali diadakan pada 2018, HAWANA merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara. - Getaran, 29 Mei 2025

![Ramai Salah Pakai? Ini Jari Yang Sepatutnya Lelaki Sarung Cincin Ikut Sunnah [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)

