
LUAR NEGARA – Hari Raya Aidilfitri sememangnya sinonim dengan momen pertemuan dan kasih sayang bersama keluarga tersayang. Namun bagi mereka yang bertugas, terutama petugas media, tanggungjawab sering kali mengatasi segalanya.
Suasana liputan Hari Raya Aidilfitri bertukar sebak apabila seorang wartawan iNews, Naura Syafiqah, menerima kejutan istimewa ketika sedang bertugas melaporkan suasana Lebaran.
Dalam kejadian tersebut, ibu kepada Naura secara tiba-tiba muncul di lokasi liputan tanpa pengetahuannya. Pertemuan itu jelas mengundang emosi apabila Naura dilihat tidak mampu menahan air mata sebaik menyedari kehadiran insan tersayang di hadapannya.
Momen penuh haru itu bukan sahaja menyentuh hati yang berada di lokasi, malah turut meraih perhatian ramai selepas video kejadian berkenaan tular di media sosial.
Reaksi Netizen Penuh Emosi
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak selain memuji idea kejutan seperti itu yang disifatkan mampu memberi semangat kepada petugas media yang berkorban masa bersama keluarga ketika musim perayaan. Ada yang berpendapat pendekatan sebegini wajar diperbanyakkan kerana mampu menggembirakan wartawan tanpa menjejaskan tugas mereka, malah memberi pengalaman menarik kepada penonton.
Selain itu, perhatian turut tertumpu kepada penampilan ibu Naura yang dipuji kelihatan awet muda dan cantik, sekali gus mengundang reaksi positif daripada netizen yang menyifatkan keakraban ibu dan anak itu sangat menyentuh hati.
Dalam masa sama, perkongsian tersebut turut membuka ruang kepada segelintir netizen meluahkan rasa rindu terhadap ibu masing-masing yang telah pergi, dengan ada yang menyatakan bahawa kehadiran seorang ibu menjadikan segalanya terasa lebih baik.
Perkongsian ini sekali lagi membuktikan bahawa momen kecil yang penuh kasih sayang mampu memberi impak besar, lebih-lebih lagi dalam suasana penuh makna seperti Aidilfitri. – The Malaysian Update
The post Wartawan iNews Terkejut Ibu Datang Ke Lokasi Liputan, Momen Haru Warnai Lebaran appeared first on The Malaysian Update.
