hamden23/11/2026 - 09:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Wasco Bhd mencadangkan pelupusan keseluruhan divisyen kejuruteraan dan fabrikasinya kepada syarikat berpangkalan di Abu Dhabi, NMDC Energy PJSC pada harga USD192.83 juta (kira-kira RM782.19 juta), sekali gus membuka ruang kepada kumpulan merealisasikan keuntungan sekali sahaja sebanyak RM340.3 juta.
Urus niaga itu turut membolehkan Wasco memperkukuh kedudukan kewangannya menerusi peningkatan tunai bersih serta merancang pengagihan dividen khas indikatif sebanyak 30 sen sesaham kepada pemegang saham, membabitkan jumlah anggaran RM232.29 juta.
Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia yang difailkan menerusi Maybank Investment Bank Bhd pada 20 November 2026, Wasco bersama anak syarikat milik penuhnya, Wasco Energy Ltd (WEL), memeterai perjanjian jual beli bersyarat (SPA) dengan NMDC Energy pada 20 November 2026.
Pelupusan itu membabitkan keseluruhan pegangan ekuiti dalam Wasco Engineering Group Ltd (WEGL) serta Wasco Process Engineering Sdn Bhd (WPE), termasuk anak syarikatnya, Peakvest Sdn Bhd.
WEGL terbabit dalam perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC), fabrikasi serta penyewaan pemampat gas dan peralatan proses, manakala WPE menjalankan perkhidmatan kejuruteraan industri serta penyewaan hartanah.
Wasco menjelaskan pelupusan itu merupakan langkah strategik untuk merealisasikan nilai pelaburan kumpulan, selain mengambil kira penilaian kewangan yang menguntungkan.
Ambil alih perniagaan atau aset baharu dalam tempoh 36 bulan
Berdasarkan keputusan teraudit FY2025, nilai pelupusan RM782.19 juta itu mewakili gandaan nilai perusahaan kepada EBITDA (EV/EBITDA) sebanyak 5.0 kali dan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 8.3 kali.
Penilaian berkenaan menawarkan premium masing-masing sebanyak 163% bagi EV/EBITDA dan 56.9% bagi P/E berbanding Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE), yang dikenal pasti sebagai syarikat pembanding utama tersenarai di Bursa Malaysia.
Selain itu, nilai pertimbangan jualan berkenaan mewakili premium 100.1% berbanding permodalan pasaran Wasco selepas mengecualikan pegangan kumpulan dalam anak syarikat biotenaganya, Wasco Greenergy Bhd.
Daripada hasil jualan berjumlah RM782.19 juta, sebanyak RM474.90 juta atau 60.7% diperuntukkan untuk menilai dan mengambil alih perniagaan atau aset baharu dalam tempoh 36 bulan.
Sementara itu, RM232.29 juta atau 29.7% daripada hasil berkenaan dicadangkan untuk pengagihan dividen khas indikatif sebanyak 30 sen sesaham dalam tempoh enam bulan.
Baki RM50 juta atau 6.4% akan digunakan bagi memenuhi keperluan modal kerja, termasuk pembayaran akaun belum bayar dan perbelanjaan operasi dalam tempoh 24 bulan, manakala RM25 juta atau 3.2% diperuntukkan bagi membiayai kos berkaitan urus niaga pelupusan.
Dari segi kedudukan kewangan, pelupusan itu dijangka meningkatkan nilai aset bersih (NA) sesaham Wasco daripada RM1.34 kepada RM1.78, atau RM1.48 selepas mengambil kira pengagihan dividen khas.
Kedudukan tunai bersih kumpulan pula dijangka meningkat daripada RM49.27 juta kepada RM903.59 juta sebelum pengagihan dividen khas dan RM671.30 juta selepas mengambil kira pembayaran dividen berkenaan.
Pendapatan sesaham (EPS) pro forma turut meningkat daripada 20.73 sen kepada 58.43 sen.
Tumpuan kepada perkhidmatan dan pembuatan paip serta biotenaga
Selepas penyempurnaan urus niaga itu, Wasco akan menumpukan operasi kepada dua segmen utama iaitu perkhidmatan paip, merangkumi perkhidmatan dan pembuatan paip, serta perkhidmatan biotenaga menerusi Wasco Greenergy yang mana kumpulan memegang 62.5% kepentingan.
Peruntukan RM474.90 juta bagi pengambilalihan perniagaan dan aset baharu pula mencerminkan usaha kumpulan meneroka peluang pelaburan strategik bagi memperkukuh kedudukannya dalam sektor tenaga serta meningkatkan nilai pemegang saham untuk jangka panjang.
Wasco menjelaskan pelupusan berkenaan tidak menyebabkan kumpulan menjadi syarikat tunai atau diklasifikasikan sebagai syarikat di bawah Nota Amalan 17 (PN17).
Urus niaga itu dijangka diselesaikan pada suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com

