hamden20/11/2026 - 14:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - Velesto Energy Bhd mengisytiharkan dividen khas sebanyak 2.00 sen sesaham selepas mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM21 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3Q2026).
Pengisytiharan itu menjadikan jumlah dividen yang diumumkan kumpulan sepanjang 2026 sebanyak 3.00 sen sesaham.
Tarikh kelayakan bagi dividen khas berkenaan ditetapkan pada 8 Disember 2026, manakala pembayaran akan dibuat pada 22 Disember 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia kumpulan itu memberitahu, bagi 3Q2026, Velesto merekodkan hasil sebanyak RM217 juta, manakala EBITDA berjumlah RM81 juta.
Kadar penggunaan pelantar penggerudian pula mencatatkan 83%, dengan kadar sewaan harian purata sebanyak AS$99,000 sehari.
Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, keputusan suku ketiga itu mencerminkan peningkatan kadar penggunaan pelantar, disokong prestasi operasi dan keselamatan yang kukuh dengan kadar masa operasi sebanyak 99.6%.
Beliau berkata, meskipun kadar sewaan masih berdepan cabaran, peningkatan kadar penggunaan membantu mengurangkan kesan daripada kadar sewaan harian yang lebih rendah.
“Dengan kesemua enam pelantar penggerudian dikontrak sehingga penghujung 2026, NAGA 3 dijadualkan menyambung semula operasi pada suku keempat 2026 (4Q2026) dan buku tempahan kukuh bernilai RM1.1 bilion, kami kekal berhati-hati tetapi optimis terhadap prospek,” katanya. - DagangNews.com






