Wasiyyah perjelas isu hibah takaful, tegas tidak terlibat kes viral

LocalBusiness & Finance
11 Jun 2025 • 2:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Wasiyyah perjelas isu hibah takaful, tegas tidak terlibat kes viral

image is not available

11/06/2025 - 14:42

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin menyatakan pada sidang media berhubung kes viral hibah takaful terbatal di Kelab Golf Negara Subang, Subang Jaya, Selangor Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 11 Jun – Wasiyyah Shoppe Berhad menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam kes viral berhubung pembatalan hibah takaful yang diputuskan mahkamah baru-baru ini, sebaliknya ia melibatkan isu teknikal berkaitan manfaat takaful serta keabsahan Jadual 10 di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ariffin Sabirin berkata, semua urusan hibah harta yang diuruskan oleh Wasiyyah kekal menggunakan modus operandi sedia ada dan penambahbaikan juga dilakukan dari semasa ke semasa.

"Masyarakat tidak perlu tergesa-gesa membuat kesimpulan semua hibah tidak sah, sebaliknya perlu memberi ruang kepada proses perundangan berjalan seperti biasa kerana kami mempunyai rekod perkhidmatan hibah yang telah terbukti," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel berkaitan-

Kes itu secara tidak langsung membuka mata ramai pihak tentang realiti sebenar hibah takaful.

Syarikat mengakui cabaran terhadap pengesahan hibah di mahkamah semakin meningkat berdasarkan trend yang dipantau dalam tempoh 21 tahun operasi syarikat.

Ariffin menjelaskan, antaranya keadaan ekonomi yang mencabar, kelemahan institusi kekeluargaan, campur tangan pihak ketiga serta kenaikan mendadak nilai aset seperti hartanah yang menyebabkan perebutan harta menjadi sengit.

"Hartanah merupakan antara aset paling banyak dicabar kerana nilainya yang semakin tinggi. Rumah yang dahulu bernilai RM150,000 kini mungkin mencecah lebih RM1 juta, sekali gus menjadikannya rebutan.

"Cabaran terhadap hibah dan kelewatan pentadbiran pusaka turut memberi kesan kepada ekonomi negara memandangkan dianggarkan terdapat RM90 bilion harta pusaka tertunggak yang masih belum diturunkan milik kepada waris sah.

"Bayangkan jika harta-harta ini dapat diselesaikan, ia pasti memberi impak besar dalam situasi semasa yang semakin mencabar," tambah Ariffin.

Sehubungan itu, Wasiyyah memperkenalkan perkhidmatan Al-Wasitah iaitu perkhidmatan pengurusan lengkap hibah dan pentadbiran pusaka secara percuma kepada waris pelanggan.

Tambah beliau, masyarakat Islam kini memiliki portfolio aset yang semakin kompleks merangkumi akaun pelaburan, saham syarikat, emas dan aset digital seperti kripto.

Justeru, perancangan harta perlu dilakukan secara menyeluruh dan berstrategi.

Wasiyyah kini memiliki lebih 3,700 ejen bertauliah di seluruh negara yang ditugaskan untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan perancangan harta secara sah.

Perkhidmatan Wasiyyah akan terus meningkat terutama dalam kalangan generasi muda yang mahukan rumusan profesional, sah, dan menyeluruh dalam pengurusan harta pusaka.- DagangNews.com

standard

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved