Watak Joker pun dibawa dengan cara sendiri menerusi pelakon berbeza – Arya Saloka

EntertainmentMovie
7 Oct 2026 • 1:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Watak Joker pun dibawa dengan cara sendiri menerusi pelakon berbeza – Arya Saloka

KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia, Arya Saloka, tidak bimbang sekiranya lakonannya sebagai Ustaz Adam dalam filem Munafik: Melawan Iblis dibandingkan dengan watak sama yang pernah dijayakan Syamsul Yusof menerusi filem asal arahan pengarah tempatan itu.

Menurut Arya, perbandingan antara kedua-dua pelakon merupakan perkara biasa, lebih-lebih lagi apabila sesebuah filem dihasilkan semula dengan pelakon dan pendekatan yang berbeza.

Katanya, setiap pelakon mempunyai interpretasi serta warna tersendiri dalam menghidupkan sesuatu watak, manakala penerimaan penonton pula bergantung kepada citarasa masing-masing.

“Itu sebenarnya tidak menjadi masalah bagi saya kerana setiap filem, khususnya filem remake, pasti mempunyai pendekatan yang berbeza. Malah di Hollywood pun, apabila kita melihat filem seperti Batman atau Joker, wataknya sering dibawakan oleh pelakon yang berbeza dan setiap pelakon mempunyai warna serta karakter tersendiri.

“Daripada Heath Ledger hinggalah Joaquin Phoenix, kedua-duanya memberikan interpretasi yang berbeza. Jadi, semuanya kembali kepada citarasa penonton. Penonton lebih suka yang mana, itu pilihan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Arya berkata, dia sendiri menghargai lakonan pelakon yang pernah membawakan watak sama, termasuk Syamsul, namun tidak melihat perkara itu sebagai satu tekanan ketika menjayakan versi baharu Munafik.

Malah, katanya, dia tidak mahu mempengaruhi penonton untuk memilih satu lakonan berbanding yang lain kerana setiap karya mempunyai kekuatan dan pendekatan tersendiri.

“Bagi saya sendiri, saya suka kedua-duanya. Mungkin ada yang lebih suka Heath Ledger dan ada yang lebih suka Joaquin Phoenix. Kita tidak boleh memaksa orang yang menyukai kedua-duanya untuk tidak menyukai salah seorang daripada mereka.

“Jadi, memang begitulah. Itu pilihan masing-masing. Begitu juga dengan watak Ustaz Adam ini. Saya cuba memberikan yang terbaik mengikut kemampuan dan interpretasi saya sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Arya mengakui bersyukur apabila diberi kepercayaan oleh pengarah, Guntur Soeharjanto, dan penerbit, Oswin Bonifanz, untuk menggalas watak berkenaan tanpa melalui proses uji bakat.

Katanya, kepercayaan yang diberikan sejak pertemuan pertama membuatkan dia mahu memanfaatkan sepenuhnya tempoh persiapan bagi memastikan watak Ustaz Adam dapat disampaikan sebaik mungkin.

“Saya betul-betul tidak tahu apa yang ada dalam fikiran mereka pada ketika itu sehingga terus menghubungi saya. Namun, saya sangat bersyukur kerana mereka percaya kepada saya. Saya juga tidak melalui proses uji bakat.

“Jadi, saya benar-benar berusaha dan memanfaatkan masa untuk menjalani bengkel lakonan itu sebaik mungkin.

“Saya mahu memberikan yang terbaik kerana sejak pertama kali bertemu dengan Guntur dan Oswin, mereka sudah memberikan kepercayaan kepada saya. Jadi, saya tidak mahu mengecewakan mereka,” katanya.

Filem asal karya arahan Syamsul Yusof itu kini diberi nafas baharu menerusi versi Indonesia berjudul Munafik: Melawan Iblis dan mula menemui penonton tempatan sejak 1 Oktober lalu.

Bukan sekadar mengadaptasi semula naskhah yang pernah mencetuskan fenomena di Malaysia pada 2016, filem arahan Guntur Soeharjanto itu tampil dengan pendekatan tersendiri bagi menyesuaikan jalan cerita, watak dan latarnya dengan budaya serta cita rasa penonton Indonesia.

The post Watak Joker pun dibawa dengan cara sendiri menerusi pelakon berbeza – Arya Saloka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved