‘Saya ikut arahan saja’ – Respons Arya dibandingkan Syamsul

Movie
7 Oct 2026 • 9:17 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya ikut arahan saja’ – Respons Arya dibandingkan Syamsul

MENERAJUI watak Ustaz Adam menerusi filem Munafik: Melawan Iblis bukan tugas yang mudah buat aktor Indonesia, Arya Saloka, apatah lagi apabila naskhah asal arahan Syamsul Yusof iaitu Munafik yang dihasilkan sekitar tahun 2016 meninggalkan impak luar biasa dalam industri perfileman di Malaysia.

Meski beban yang digalas sangat besar, Arya merasakan peluang untuk menghidupkan karakter itu platform terbaik untuk menguji kemampuan sebagai pelakon dalam naskhah genre seram.

Sedar akan dibandingkan dengan Syamsul yang merupakan pemegang asal watak Ustaz Adam, Arya atau nama sebenarnya, Putra Arya Saloka menganggap perkara tersebut bukan satu perkara yang perlu dirunsingkan.

Dia bahkan menghormati cita rasa penonton yang mempunyai pandangan berbeza terhadap setiap pelakon.

Dia bahkan beberapa kali memohon maaf sekiranya lakonan yang diberikan tidak setanding dengan persembahan Syamsul.

Katanya, dia memahami setiap penonton mempunyai cita rasa tersendiri, apatah lagi Munafik versi Malaysia sudah mempunyai peminat yang mengikuti naskhah berkenaan sejak awal.

“Ya, setiap penonton filem pasti mempunyai cita rasa masing-masing. Saya faham Munafik Malaysia sangat luar biasa selain sudah mempunyai peminatnya sendiri.

“Sebenarnya, bukan filem Munafik sahaja. Filem-filem saya sebelum ini pun, setiap kali sidang media, saya akan meminta maaf jika ada kekurangan kerana itu sahaja hasil terbaik yang mampu saya berikan.

“Jadi, saya berharap semua orang dapat menerima lakonan saya,” kata aktor berusia 35 tahun itu.

Biarpun sedar perbandingan antara dirinya dengan Syamsul Yusof tidak dapat dielakkan, Arya menegaskan perkara itu bukan sesuatu yang perlu dijadikan pertikaian.

Sebaliknya, pelakon itu berpandangan setiap pelakon mempunyai pendekatan dan cara tersendiri dalam menghidupkan sesebuah watak.

“Perkara itu sebenarnya tidak menjadi masalah buat saya kerana setiap pelakon mempunyai pendekatan berbeza.

“Di Hollywood pun, apabila kita menonton filem Batman atau Joker, watak itu sering dibawakan oleh pelakon berbeza. Daripada Heath Ledger hingga Joaquin Phoenix, masing-masing mempunyai warna tersendiri.

“Jadi, semuanya berbalik kepada cita rasa penonton. Mereka sendiri yang menentukan persembahan mana yang lebih disukai,” tuturnya yang popular menerusi naskhah Gadis Kretek.

Image from: ‘Saya ikut arahan saja’ – Respons Arya dibandingkan Syamsul

Komunikasi 

Dalam pada itu, Arya mendedahkan dia belum berkomunikasi secara langsung dengan Syamsul sepanjang persiapannya menjayakan watak Ustaz Adam.

Bagaimanapun, dia memaklumkan pihak produksi Skop Productions memberikan kebebasan kepadanya untuk mengembangkan karakter berkenaan selain mengikuti arahan Guntur untuk hala tuju watak dipegangnya.

“Setakat ini, saya belum berkomunikasi secara langsung dengan Syamsul, mungkin Pak Guntur dan Pak Oswin sudah berkomunikasi dengannya terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, pihak Skop Productions sendiri memberikan kebebasan dan ruang kepada kami, khususnya saya, untuk mengembangkan lagi karakter Ustaz Adam dalam filem Munafik ini.

“Jadi, dari segi komunikasi, saya mengikuti arahan pengarah saja,” jelasnya.

Bercerita mengenai peluang membawa watak berkenaan, Arya berkata dia bersyukur kerana dipilih tanpa perlu melalui proses uji bakat seperti kebiasaan.

“Syukur kerana pengarah kami iaitu Guntur Soeharjanto dan penerbit, Oswin Bonifanz memberi kepercayaan untuk saya memegang peranan Ustaz Adam.

“Saya benar-benar tidak tahu apa yang ada dalam fikiran mereka ketika menawarkan filem ini tetapi sangat bersyukur kerana mereka percaya dengan kemampuan saya.

“Saya tidak melalui proses uji bakat dan disebabkan itu memanfaatkan setiap proses latihan sebaik mungkin kerana mahu memberikan yang terbaik dan enggan mengecewakan mereka,” katanya.



The post ‘Saya ikut arahan saja’ – Respons Arya dibandingkan Syamsul appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved