Watsons buka cawangan ke-700 di KSL Esplanade Mall Klang
zulfadli
16/06/2023 - 17:58
KUALA LUMPUR 16 Jun - Watsons Malaysia melancarkan pembukaan cawangan yang ke-700 mereka di KSL Esplanade Mall, Klang, Selangor sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran.
Cawangan baharu itu menandakan detik penting bagi Watsons Malaysia dan mengukuhkan komitmennya untuk menyediakan para pelanggan pengalaman terbaik membeli-belah dan produk inovatif.
Di sebalik kesukaran yang timbul ketika negara dilanda pandemik, Watsons Malaysia telah berkembang daripada 535 cawangan pada 2019 kepada 700 buah cawangan ketika ini.
Selain itu, bilangan ahli kesetiaannya telah meningkat daripada 5.7 juta pada 2019 kepada 7.2 juta, mewakili 1.5 juta ahli baharu dalam tempoh singkat dan menyaksikan pertumbuhan jualan dua angka yang ketara pada tahun ini.
Pengarah Urusan A.S. Watson Group, Dominic Lai berkata, sebagai salah satu pasaran yang paling pesat berkembang di Asia, pihaknya sangat teruja untuk mengumumkan pelancaran kedai ke-700 Watsons di Malaysia.
"Watsons akan terus membangun dan menyesuaikan diri untuk menjadi peruncit terkemuka dalam produk kesihatan dan kecantikan untuk memenuhi keperluan perubahan pelanggan dan mencapai kecemerlangan dalam menawarkan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan.
"Kami akan meneruskan laluan pertumbuhan ini bersama pelanggan dan membina hari esok yang lebih baik untuk kami semua bersama-sama dengan tujuan yang tidak berbelah bahagi dan komitmen untuk memastikan pelanggan kami sentiasa ‘Look Good, Do Good, and Feel Great'," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Caryn Loh pula berkata, ia merupakan pencapaian luar biasa selama 29 tahun sejak pihaknya mula-mula memasuki industri peruncitan.

"Sepanjang perjalanan ini, kami telah menerima pelbagai pencapaian dan menjadikan diri kami sebagai jenama runcit nombor satu dalam kalangan pelanggan.
"Pembukaan kedai Watsons Malaysia yang ke-700 menjadi bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk menjadikan produk dan perkhidmatan kami mudah diakses pelanggan dan ahli kami yang dihargai," katanya. - DagangNews.com


