WattMEC 2025 Heriot-Watt Malaysia pupuk kerjasama industri & ahli akademik, fokus teknologi dan inovasi

LocalTechnology
21 Apr 2025 • 4:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

WattMEC 2025 Heriot-Watt Malaysia pupuk kerjasama industri & ahli akademik, fokus teknologi dan inovasi

image is not available

21/04/2025 - 16:44

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 21 April – Heriot-Watt University Malaysia berjaya menganjurkan Watt Malaysia Exhibition and Conference (WattMEC) 2025 dengan penyertaan lebih 200 pelajar, ahli akademik, dan pemimpin industri di kampus Putrajaya pada 9 dan 10 April lalu.

Program itu adalah bersama dua fakulti universiti itu, iaitu School of Engineering and Physical Sciences (EPS) dan School of Energy, Geoscience, Infrastructure and Society (EGIS).

Forum bertemakan "Bridging the Future: Sustainability, Technology, and Beyond", memberi fokus kepada rumusan inovatif terhadap cabaran global, berteraskan tiga tonggak utama iaitu kelestarian (infrastruktur hijau dan bahan mampan), teknologi (tenaga boleh diperbaharui dan strategi sifar bersih), serta inovasi (kuasa pendigitalan dan pembelajaran mesin yang membentuk semula industri).

Dengan matlamat merapatkan jurang antara dunia akademik dan sektor industri, platform itu turut mempamerkan bagaimana penyelidikan boleh memberi impak kepada rumusan dunia sebenar sekali gus menjana kerjasama rentas disiplin demi masa hadapan yang lestari dan berteknologi.

Dalam ucapannya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Ts. Mahadhir Aziz berkata, ASEAN kini muncul sebagai hab utama ekosistem digital dunia, dan kejuruteraan serta pembinaan perlu beralih kepada pendekatan mampan dan berteknologi tinggi.

“Kita sedang berada di ambang perubahan besar. ASEAN kini muncul sebagai pusat ekosistem digital yang subur, sekali gus menuntut kita menilai semula pendekatan terhadap kejuruteraan, pembinaan mampan, dan pemuliharaan sumber menggunakan tenaga boleh diperbaharui serta teknologi baharu.

"Persidangan seperti WattMEC adalah platform penting untuk mempertemukan pemegang taruh bagi berkongsi pandangan dan menjalin kerjasama merentas sektor," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Provos dan Ketua Pegawai Eksekutif Heriot-Watt University Malaysia, Profesor Mushtak Al-Atabi berkata, WattMEC mencerminkan visi universiti untuk menjadi pemacu inovasi melalui kerjasama erat antara pelajar dan pemimpin industri.

"WattMEC adalah tempat di mana inovasi bertemu kolaborasi. Ia bukan hanya tentang teknologi, tetapi tentang menyatukan pelbagai disiplin ilmu untuk menangani cabaran global secara bersama," katanya.

Antara pengisian utama acara ialah sesi ucapan oleh tokoh-tokoh industri termasuk Jurutera Diagnostik Bakers Hughes, Ir. Amir Farid Abdul Majid serta Pengarah Basar dan Harun, Sr. Dainna Baharuddin.

Satu lagi tarikan utama ialah Forum Panel (Shaping Futures: Integrating Technology, Sustainability, and Innovation Across Industries) yang membariskan panel akademik dan profesional industri seperti Prof. Madya David Barron, Pengarah Urusan FMT News, Azeem Abu Bakar, Pengarah Art Projeks, Rozila Abdul Rahman, Pengarah Hijjas Kasturi Associates, Ar. Dr. Serina Hijjas, dan Ketua Jualan Novonesis, Ir. Hong Wai Onn.

Perbincangan forum mengenai keperluan mendesak untuk berganding bahu dalam memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi menangani cabaran masa depan yang kompleks.

WattMEC turut memperkenalkan akreditasi Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) yang diiktiraf oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (BQSM) dalam menjadikannya platform pembangunan profesional yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat serta mengiktiraf kepimpinan pelajar dalam akademik dan industri.- DagangNews.com

standard