Sektor industri Australasia Sime Darby, bakal berdepan kesan dasar Amerika Syarikat

WorldBusiness & Finance
21 Apr 2025 • 9:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor industri Australasia Sime Darby, bakal berdepan kesan dasar Amerika Syarikat

image is not available

21/04/2025 - 09:49

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 21 April - Industri Australasia Sime Darby Bhd dijangka berdepan beberapa cabaran baharu seperti kekurangan permintaan terhadap tempahan jentera, tekanan margin kasar dalam jangka pendek, serta kuasa penetapan harga yang terhad.

Affin Hwang Investment Bank Research berkata, segmen industri Australasia kekal sebagai penyumbang utama kepada keuntungan kumpulan itu di sebalik cabaran struktur yang berterusan di China.

Segmen tersebut menyumbang sebanyak 46% daripada untung kasar kumpulan bagi tahun lalu.

Namun begitu, firma penyelidikan tersebut menjangkakan, segmen itu bakal menghadapi cabaran baharu susulan perubahan dasar yang mungkin berlaku di Amerika Syarikat (AS).

"Desakan agresif Trump yang meningkatkan pengeluaran arang batu serta dasar tarif beliau yang sukar dijangka mencetuskan pelbagai risiko terhadap operasi industri Sime Darby di Australasia.

"Disebabkan perniagaan ini sangat bergantung kepada rantaian bekalan peralatan perlombongan Caterpillar, ini boleh menjejaskan permintaan terhadap tempahan jentera kerana arang batu AS mula bersaing di pasaran global, selain tekanan kos baharu terhadap jentera berat Caterpillar yang diimport dari AS menyebabkan gangguan perdagangan," katanya dalam satu nota kajian.

Laporan itu turut menyatakan persaingan antara Amerika Syarikat dan Australia, kedua-duanya merupakan pengeksport utama arang batu metalurgi dijangka semakin sengit dalam pasaran utama yang bertindih di Eropah dan Asia.

"Pada masa yang sama, pergantungan Sime Darby terhadap trak angkut Caterpillar buatan AS bagi operasi perlombongan di Australia menyebabkan syarikat itu terdedah kepada inflasi kos secara langsung, termasuk tekanan margin kasar dalam jangka pendek kerana perlu menanggung kos tarif eksport terlebih dahulu sebelum sebarang pemindahan kos dapat dilakukan, selain kuasa penetapan harga yang terhad dalam pasaran arang batu Australia yang semakin lemah," kata Affin Hwang Investment.

Firma penyelidikan itu memaklumkan, pada 8 April lalu, Presiden Donald Trump telah menandatangani beberapa perintah eksekutif bagi merancakkan semula industri arang batu AS yang sedang bergelut.

Langkah-langkah utama termasuklah melanjutkan operasi loji-loji arang batu yang sepatutnya ditamatkan bagi memenuhi permintaan tenaga akibat pertumbuhan pusat data, kecerdasan buatan, dan kenderaan elektrik.

Itu akan mempercepatkan pemberian pajakan arang batu persekutuan dan mengurangkan halangan perlombongan, serta memberikan kelonggaran dua tahun terhadap had pelepasan toksik untuk loji-loji arang batu.

Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA) di bawah pentadbiran Trump juga telah memperkenalkan satu mekanisme baharu yang membolehkan industri memohon pengecualian daripada peraturan alam sekitar yang diperkenalkan semasa era Presiden Joe Biden.

"Industri arang batu AS telah mengalami penyusutan secara berterusan sejak 2010, dengan kuasa pasaran dan keputusan dasar bersama menyumbang kepada kemerosotan ini.

"Pentadbiran Biden melaksanakan beberapa langkah yang menyebabkan lebih 200 loji arang batu ditamatkan operasi sejak 2010, dengan pengeluaran terus merosot pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 4.9% dalam tempoh 10 tahun.

"Namun, AS kekal sebagai pengeksport bersih arang batu dengan arang batu metalurgi merangkumi 55% hingga 60% daripada jumlah penghantaran pada 2023," katanya dalam satu kenyataan.

Mereka percaya AS berpotensi untuk kembali kepada penguasaan pasaran global arang batu metalurgi seperti tahun 2020, iaitu 15% hingga 20% (2023: 13%), dengan memanfaatkan kelebihan strategik tertentu.

Affin Hwang Investment turut menyatakan kelebihan itu termasuklah kualiti premium arang batu kok Appalachian yang mempunyai kekuatan kok selepas tindak balas 10% hingga 15% lebih tinggi berbanding pesaing.

Lonjakan permintaan daripada industri keluli India yang berkembang pesat serta peluang untuk menggantikan arang batu Rusia yang dikenakan sekatan di pasaran Eropah.- DagangNews.com

standard