Waymo Mengaku Menggunakan Pekerja Filipina Untuk Memandu Roboteksi Dari Jarak Jauh

WorldTechnology
9 Feb 2026 • 12:42 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Perkhidmatan teksi swapandu Waymo boleh membawa penumpang ke destinasi pilihan tanpa pemandu manusia di dalam kenderaan. Tetapi dalam situasi tertentu, manusia masih diperlukan seperti apabila San Franciso mengalami gangguan elektrik dan semua lampu isyarat tergendala. Kurangnya pemandu manusia untuk mengambil alih pemanduan menyebabkan perkhidmatan Waymo digantung seketika dalam situasi seperti ini.

image is not available

Tetapi Ketua Pegawai Keselamatan Waymo, Mauricio Peña telah mendedahkan syarikat menggunakan tenaga kerja luar negara untuk proses memberikan bantuan pemanduan dalam situasi di atas. Roboteksi Waymo akan dipandu dari jarak jauh oleh operator di Amerika Syarikat dan luar negara antaranya di Filipina.

Tindakan Waymo ini menerima kecaman senator Ed Markey yang mengatakan mengapa tugas kritikal seperti ini diberikan kepada pekerja luar. Isu masa pendam antara operator kereta yang dipantau pula menimbulkan isu keselamatan kepada penumpang.

Selain itu Waymo turut dikritik kerana menggunakan kereta Zeekr buatan China untuk roboteksi terkini mereka yang turut didakwa mendatangkan risiko kepada keselamatan negara. Kenderaan elektrik (EV) buatan China tidak dibenarkan dibawa masuk ke Amerika Syarikat atas sebab keselamatan dan kerisauan ia mengancam industri automotif tempatan.

Filipina kini menjadi pilihan untuk kerja jarak jauh dengan mereka digunakan untuk mengawal robot yang mengisi stok kedai serbaneka di Jepun dan menjaga lobi hotel di California serta New York. Kos yang lebih murah menjadi sebab mengapa pekerja dari Filipina menjadi pilihan.