
Aksi Portugal yang berkesudahan seri 1-1 menentang DR Congo dalam perlawanan pembukaan Kumpulan K Piala Dunia 2026 bukan sahaja mengecewakan penyokong, malah turut mengundang pelbagai reaksi di luar padang.
Di sebalik keputusan yang dianggap kurang memuaskan itu, perhatian peminat bola sepak beralih kepada satu tindakan yang dilakukan oleh kakak kapten pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo iaitu Katia Aveiro. Ini selepas dia didakwa menekan butang “like” pada satu hantaran di Instagram yang mengkritik pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes.

Bruno Dikritik Gagal Beri Impak
Hantaran yang mendapat perhatian itu mendakwa Bruno Fernandes gagal memainkan peranan sebagai tonggak utama Portugal ketika pasukan memerlukan kemenangan. Malah, ada yang berpendapat prestasi pemain berusia 31 tahun itu jauh berbeza berbanding apa yang sering dipamerkannya ketika mengetuai Manchester United di peringkat kelab.
Kritikan itu turut menyebut Bruno gagal mengawal tempo permainan dan tidak memberikan kreativiti yang diharapkan ketika Portugal bergelut untuk mencari gol kemenangan.
“Ini ialah Raphinha versi Portugal: Dia selalu gagal apabila bermain untuk skuad kebangsaan.”
Tindakan Katia Aveiro menekan butang “like” pada hantaran tersebut menyebabkan ramai penyokong mula membuat pelbagai andaian.
Difahamkan, seorang lagi kakak Ronaldo iaitu Elma Aviero turut membuka mulut mengenai keputusan seri Portugal itu. Memetik laman Goal.com, Elma berkata kemenangan Portugal dicuri dan menyifatkan orang luar lebh mudah bercakap berbanding mereka yang berada diatas padang.
Ronaldo Turut Tidak Terlepas Daripada Kritikan
Menariknya, bukan Bruno Fernandes sahaja yang menjadi sasaran selepas keputusan seri itu. Cristiano Ronaldo juga menerima kritikan daripada beberapa pemerhati bola sepak yang menyifatkan persembahannya kurang berkesan.
Legenda Perancis, Thierry Henry, antara yang mempersoalkan keputusan Ronaldo dalam satu situasi serangan apabila beliau memilih untuk melakukan percubaan sendiri berbanding menghantar bola kepada Bruno Fernandes yang berada dalam kedudukan lebih baik yang boleh menjaringkan gol.
Di samping itu, pengurus Portugal, Roberto Martinez, turut dipersoalkan kerana terus mengekalkan Ronaldo di atas padang walaupun penyerang berusia 41 tahun itu dilihat bergelut untuk memberikan impak sepanjang perlawanan.
Penyokong Berbelah Bahagi
Kontroversi itu segera menjadi topik hangat di media sosial. Ada penyokong yang mempertahankan Bruno Fernandes dengan menyatakan beliau tidak wajar dipersalahkan seorang diri atas keputusan seri tersebut.
Namun, tidak kurang juga yang berpendapat Bruno sepatutnya tampil lebih menyerlah sebagai antara pemain paling berpengalaman dalam skuad Portugal, terutama ketika pasukan dibarisi ramai pemain muda.
Tumpuan Kini Kepada Aksi Seterusnya
Setakat ini, Bruno Fernandes mahupun Katia Aveiro masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.
Walaupun ia mungkin sekadar satu tindakan di media sosial, kontroversi ini sudah cukup untuk mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong Portugal ketika kempen Piala Dunia 2026 baru sahaja bermula.
Kini, segala perhatian akan tertumpu kepada aksi seterusnya Portugal. Penyokong pastinya berharap skuad kendalian Roberto Martinez mampu bangkit dalam perlawanan seterusnya menentang Uzbekistan dan Colombia, sekali gus menamatkan segala spekulasi yang mula menyelubungi pasukan seawal kejohanan.
