
KEMERDEKAAN bukan sekadar tentang sebuah negara yang bebas menentukan haluan sendiri, tetapi juga melibatkan perjalanan panjang membina kemajuan yang dapat dirasai rakyat.
Selepas lebih enam dekad, pembangunan infrastruktur lebuh raya terus menjadi antara bukti nyata Malaysia bergerak ke hadapan dengan menghubungkan wilayah, membuka peluang ekonomi dan merapatkan jurang antara masyarakat bandar dengan luar bandar.
Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) mencerminkan kesinambungan pembangunan negara apabila jajaran sepanjang 233 kilometer (km) yang menghubungkan Banting, Selangor sehingga Taiping Selatan, Perak itu bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah membuka lembaran baharu kepada pertumbuhan komuniti dan mobiliti masyarakat.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Muhammad Faizal Shah Safian Suri berkata, WCE memberi impak positif yang signifikan kepada daerah itu dari aspek pembangunan ekonomi, pelancongan, pertanian serta hartanah menerusi jaringan perhubungan lebih baik.

“WCE yang melalui beberapa kawasan strategik di Manjung seperti Beruas, Changkat Chermin, Sitiawan Utara, Sitiawan Selatan dan Lekir bukan sahaja berperanan sebagai laluan alternatif yang lebih efisien, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan baharu di sepanjang jajaran lebuh raya.
“MPM melihat pembangunan WCE sebagai satu peluang strategik yang menyokong aspirasi Manjung Menuju Bandar Raya Pelancongan dan Maritim menjelang tahun 2030,” katanya kepada Kosmo!.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Mohamed Akmal Dahalan turut mengakui pembangunan WCE membawa manfaat besar kepada penduduk.
“Ia meletakkan Taiping pada kedudukan yang lebih strategik apabila jajaran ini bersambung dengan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di Changkat Jering.
“Kesalinghubungan ini membuka peluang kepada peningkatan aktiviti perdagangan, pelaburan, perkhidmatan dan pelancongan serta memberi kesan limpahan kepada ekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan WCE turut mencerminkan kesinambungan kemajuan negara sejak mencapai kemerdekaan.
“Pembangunan infrastruktur yang semakin moden menghubungkan bandar dan wilayah dengan lebih baik, membuka peluang ekonomi serta meningkatkan mobiliti rakyat,” katanya.

Bagi Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Taufik Abdul Rahman, pelaksanaan projek WCE khususnya di negeri ini mengambil kira aspek konservasi hidupan liar melalui pelaksanaan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) serta langkah mitigasi yang menyeluruh.
Jelasnya, jajaran lebuh raya itu merentasi kawasan sensitif seperti Hutan Simpan Bubu sepanjang kira-kira 1.69 km, dengan pengambilan kawasan hutan sekitar 15 hektar.
“Dari segi pengurusan habitat, kerja-kerja pembersihan kawasan dilaksanakan secara berperingkat dan terkawal bagi meminimumkan gangguan kepada ekosistem.
“Lintasan hidupan liar berbentuk terowong bawah (underpass) turut dibina bagi menghubungkan habitat yang terpisah. Pagar sepanjang jajaran lebuh raya dipasang bagi menghalang hidupan liar daripada memasuki lebuh raya dan mengarahkan mereka ke laluan lintasan yang disediakan,” katanya.
Peluang ekonomi
Di Selangor, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, menyifatkan WCE sebagai kunci yang membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan.
Katanya, WCE menjadi pemangkin kepada Koridor Pelancongan Pesisir Selangor yang menghubungkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

“Antara tarikan yang boleh dipakejkan ialah R&R Air Manis, sawah dan produk agro Sekinchan, hasil laut Sungai Besar-Sungai Lang, ekopelancongan Sabak Bernam, Pantai Redang serta gastronomi tempatan,” katanya.
Yee Ling berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan 10 hingga 15 peratus jumlah pengunjung, 15 hingga 20 peratus perbelanjaan pelancongan dan sekurang-kurangnya 10 peratus pengunjung bermalam dalam tempoh tiga tahun pertama selepas jajaran utama WCE di Selangor beroperasi sepenuhnya, dijadualkan pada awal 2027.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Komuniti Bandar Mahkota, Ahmad Kamurul Hadi Abdul Malik berkata, limpahan ekonomi turut dirasai penduduk Bandar Mahkota, Banting susulan kawasan itu menjadi titik permulaan atau penghujung selatan bagi jajaran WCE di Selangor.
Menurutnya, pembangunan di kawasan tersebut kini rancak berjalan termasuk penambahan kemudahan komersial seperti pasar raya besar dan kedai beroperasi 24 jam.
“Ramai pengguna yang keluar dari WCE akan singgah di Bandar Mahkota untuk makan atau mendapatkan keperluan harian,” katanya.
Jelasnya, WCE turut memudahkan pergerakan lebih 5,000 penduduk setempat menerusi sambungan ke Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) dan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), membantu mengurangkan kesesakan.
Setiausaha Agung Persatuan Haulier Malaysia (AMH), Mohamad Azuan Masud pula berkata, jajaran Changkat Jering hingga Pelabuhan Klang yang lebih landai dapat mengurangkan penggunaan diesel dan menjadikan pergerakan lori lebih konsisten.
“Penjimatan walaupun kecil bagi satu perjalanan tetap memberi kesan besar apabila dikira berdasarkan jumlah perjalanan setiap hari,” ujarnya.

The post WCE dekatkan komuniti, buka peluang ekonomi appeared first on Kosmo Digital.


