
PILIHAN Raya Negeri (PRN) bagi Negeri Sembilan telah berakhir. Keputusannya telah diketahui. Adat pertandingan pasti akan ada pemenang dan ada pihak yang tewas.
Apa yang nyata sistem demokrasi kita memberikan ruang dan peluang kepada setiap warganegara yang layak untuk menentukan wakil rakyat pilihan mereka.
Meskipun corak kempen sejak dahulu kita dapati masih belum berubah, kekal disulami dengan dakyah, tohmahan, fitnah dan adu domba, namun kita dapati majoriti pengundi masih waras berfikir sebelum memangkah calon pilihan.
Pilihan raya pada hakikatnya satu proses yang mudah. Apabila Dewan Undangan Negeri dibubar maka diadakan pemilihan bagi melantik wakil yang baharu atau mengekalkan yang lama.
Begitu juga dengan jika Dewan Rakyat dibubar, maka Ahli-ahli Parlimen daripada parti politik perlu mendapat mandat untuk dilantik semula.
Dalam proses ini tanpa kempen ‘berapi-api’ pun rakyat sudah boleh membuat keputusan calon parti mana yang mahu dijadikan sebagai wakil mereka di Parlimen.
Kempen-kempen yang cuba membentuk naratif keburukan pihak lawan mungkin pada masa kini tidak lagi relevan.
Pengundi hari ini khususnya golongan muda mahu mendengar apa yang mereka boleh dapat daripada wakil rakyat atau parti yang menang kelak.
Mereka sudah bosan mendengar syarahan umpama tin kosong menceritakan kisah-kisah silam yang tidak membantu kehidupan mereka hari esok.
Hari ini, pengundi sangat memikirkan kos sara hidup mereka yang semakin tinggi. Mereka perlukan sebuah kerajaan yang boleh membantu menangani harga barang keperluan yang terus meningkat.
Masalah ini bertimpa apa gaji yang diterima tidak seiring dengan kos sara hidup sekali gus sukar membuat simpanan wang terutama ketika berdepan dengan kecemasan.
Golongan muda khususnya lepasan ijazah pula berdepan isu peluang pekerjaan apabila persaingan semakin hari semakin tinggi untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti serta gaji berpatutan.
Kepada yang berusia 30an pula mula merancang untuk memiliki rumah sendiri sedangkan harga rumah semakin naik, pinjaman kewangan semakin ketat atau adakah mereka terpaksa memilih untuk menyewa sahaja.
Bagi yang berkahwin dan memiliki anak, mereka ini mahukan jaminan sistem pendidikan yang baik untuk masa depan anak-anak mereka.
Oleh itu adalah wajar bagi pilihan raya yang akan datang, parti-parti mengemukakan calon-calon yang tidak sekadar boleh menang tetapi boleh bekerja.
Rakyat tidak mahu lagi wakil rakyat mereka tidak sekadar pandai bercakap tetapi mampu melaksanakan tugas khususnya menyelesaikan isu-isu asas kehidupan seharian.
Pengundi hari ini lebih kritis kerana mereka menilai pemimpin dan parti politik berdasarkan penyelesaian yang praktikal terhadap isu-isu semasa.
Mereka sudah muak dengan ceramah retorik atau janji semata-mata. Mereka mula menolak menerima ideologi yang lebih bersifat kepentingan politik peribadi. Mereka mahukan dasar-dasar kerajaan yang jelas, disokong fakta dan mampu menunjukkan kesan yang boleh diukur kepada kehidupan harian. -KOSMO! ONLINE
The post Pilihan raya, pengundi dapat apa? appeared first on Kosmo Digital.






