
PETALING JAYA – Projek Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) dijangka mencapai titik pulang modal aliran tunai menjelang tahun 2030, iaitu kira-kira tiga tahun selepas ia dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad, Lyndon Alfred Felix berkata, titik pulang modal keuntungan pula dijangka dicapai sekitar tahun kewangan 2032, iaitu kira-kira lima tahun selepas keseluruhan lebuh raya beroperasi sepenuhnya.
Bagaimanapun beliau berkata, angka tersebut masih bersifat indikatif dan bergantung kepada purata trafik harian (ADT) sebenar.
“Ia juga bergantung kepada jumlah trafik serta ADT yang direkodkan apabila keseluruhan lebuh raya disambungkan dan beroperasi sepenuhnya.
“Ringkasnya, suku pertama 2027 akan menyaksikan rangkaian lebuh raya yang lengkap, manakala prestasi trafik selepas itu akan memberikan angka sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) WCE Holdings Berhad di Petaling Jaya, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, WCE dijangka menjadi pemangkin pembangunan di utara Selangor, khususnya di Tanjong Karang dan Sungai Besar.
Jajaran sepanjang 314.5 kilometer itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi pembangunan bandar dan perumahan baharu di sepanjang jajaran. – KOSMO! ONLINE
The post WCE Holdings Bhd sasar catat untung 2032 appeared first on Kosmo Digital.






