
PETALING JAYA: Pemegang konsesi Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), WCE Holdings Bhd, menjangkakan aliran tunai positif dan mencapai titik pulang modal menjelang 2030.
Jangkaan itu dibuat susulan WCE dijangka siap sepenuhnya dengan pembukaan Seksyen 3, 4 dan 7 di Selangor yang disasarkan selesai pada suku pertama 2027.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lyndon Alfred Felix berkata, dalam tempoh lima tahun selepas WCE siap sepenuhnya pada 2027, kumpulan itu menyasarkan untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2032.
Ketika ini, katanya, lapan daripada 11 seksyen WCE telah siap, manakala tiga lagi jajaran sedang dalam proses pembangunan dan disasarkan dibuka pada awal 2027.
“Dengan siapnya keseluruhan jajaran, WCE akan menghubungkan laluan dari Banting hingga Taiping, sekali gus melengkapkan koridor lebuh raya berkenaan.
“Prestasi kewangan WCE selepas siap sepenuhnya bergantung kepada beberapa faktor utama, khususnya pertumbuhan jumlah trafik dan kawalan kos operasi.
“Perkara positif ialah lapan daripada 11 seksyen sudah disiapkan dan kita kini mempunyai gambaran sebenar mengenai corak trafik. Apabila tiga seksyen terakhir dibuka, kita menjangkakan trafik sedia ada dapat disalurkan dengan lebih baik ke lebuh raya ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan di sini hari ini.
Menurut beliau, daripada tiga seksyen yang masih belum dibuka, seksyen 3 di Kampung Jawa, Klang, serta seksyen 4 dan seksyen 7 di Tanjong Karang, Selangor, dilihat berpotensi menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan trafik.
Katanya, jumlah trafik di Selangor secara lazimnya adalah kira-kira dua kali ganda berbanding Perak.
“Seksyen 3 juga mempunyai hubungan dengan kawasan Selangor yang lebih padat penduduk dan mempunyai aktiviti ekonomi yang tinggi.
“Keadaan itu memberi keyakinan bahawa pembukaan jajaran berkenaan mampu membantu WCE mencapai sasaran prestasi yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Lyndon berkata, WCE turut dijangka memainkan peranan penting dalam merancakkan pembangunan ekonomi di Selangor Barat, khususnya kawasan Tanjong Karang dan Sungai Besar.
Jelasnya, kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini yang menyentuh peranan WCE dalam pembangunan negeri menunjukkan kepentingan strategik lebuh raya itu kepada kawasan berkenaan.
“Apabila WCE siap sepenuhnya, perjalanan dari Tanjong Karang ke Klang dijangka menjadi jauh lebih singkat, sekali gus meningkatkan kecekapan perjalanan dan membuka peluang kepada pertumbuhan kawasan penempatan serta aktiviti ekonomi baharu.
“Apabila masa perjalanan menjadi lebih cekap dan pantas, ia boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi, termasuk pertumbuhan bandar dan perumahan,” katanya.
Selain Selangor, beliau berkata, WCE turut dilihat sebagai koridor logistik penting untuk Perak berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan beberapa pelabuhan utama, termasuk Port Klang dan Lumut.
“Perkembangan sektor logistik di kawasan sekitar Lumut juga dijangka meningkatkan kepentingan WCE sebagai laluan pengangkutan dan infrastruktur sokongan kepada aktiviti ekonomi,” katanya.
Sementara itu, seksyen 7 disifatkan sebagai antara komponen terpenting bagi merealisasikan potensi trafik jarak jauh WCE kerana ia menghubungkan kawasan Perak dan Selangor.
Menurut Lyndon, selagi jajaran tersebut belum lengkap, potensi WCE sebagai laluan alternatif utama untuk perjalanan dari Lembah Klang ke utara masih belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Apabila seksyen 7 siap, kita menjangkakan lebih ramai pengguna akan melihat WCE sebagai alternatif yang berdaya saing untuk perjalanan ke utara dari Lembah Klang,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian trafik yang kini menggunakan Jalan Persekutuan berpotensi beralih ke WCE selepas rangkaian lebuh raya itu lengkap.
“Secara keseluruhannya, WCE tidak menetapkan angka khusus bagi pertumbuhan keuntungan selepas lebuh raya beroperasi sepenuhnya buat masa ini.
“Sebaliknya, tumpuan utama adalah memastikan semua jajaran siap, meningkatkan kesedaran pengguna terhadap WCE dan menarik lebih banyak trafik sebelum strategi kewangan jangka panjang dapat dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN
The post WCE Holdings yakin catat keuntungan menjelang 2030 appeared first on Utusan Malaysia.



