WCE jangka lebih 160,000 kenderaan sehari sempena Deepavali

LocalCars
5 Nov 2026 • 7:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: WCE jangka lebih 160,000 kenderaan sehari sempena Deepavali
Infografik yang dikeluarkan oleh pihak WCE
Image from: WCE jangka lebih 160,000 kenderaan sehari sempena Deepavali

SHAH ALAM – Lebih 160,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sepanjang cuti hujung minggu ini sempena Deepavali termasuk cuti gantian pada Isnin nanti.

Pengarah Urusan Lebuhraya WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah persiapan bagi menghadapi peningkatan trafik termasuk menangguhkan sementara kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang memerlukan penutupan lorong bermula 6 hingga 10 November ini.

Penangguhan kerja berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan kerja pembaikan segera atau kecemasan yang memerlukan tindakan serta-merta.

“Pasukan operasi kami telah bersedia untuk menghadapi peningkatan trafik sepanjang tempoh ini. Namun begitu, keselamatan di jalan raya turut bergantung kepada sikap dan tindakan setiap pemandu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada unjuran 3.28 juta kenderaan yang dijangka menggunakan lebuh raya utama di seluruh negara pada hari puncak perayaan berdasarkan anggaran Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Pasukan peronda lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) akan berada dalam keadaan siap siaga sepanjang masa dengan sokongan trak tunda di lokasi strategik bagi mempercepatkan bantuan sekiranya berlaku kerosakan kenderaan atau insiden trafik.

Lyndon turut menggalakkan pengguna memanfaatkan aplikasi mudah alih WCE App bagi mendapatkan maklumat trafik masa nyata, paparan kamera litar tertutup (CCTV), panduan laluan dan lokasi kemudahan lebuh raya termasuk stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV).

“Aplikasi berkenaan turut dilengkapi ciri bantuan kecerdasan buatan (AI), manakala kemudahan pembayaran tol menerusi sistem Touch ’n Go PayDirect tersedia di semua plaza tol WCE bagi memudahkan urusan transaksi pengguna,” katanya.

Tambah beliau, pengguna boleh memanfaatkan enam kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang menyediakan kemudahan asas seperti ruang parkir, surau dan tandas, selain gerai makanan di lokasi terpilih termasuk R&R Sungai Nyior dan Bukit Kapar.

Lyndon menasihatkan supaya pengguna melakukan pemeriksaan asas kenderaan termasuk keadaan tayar, brek dan paras cecair sebelum memulakan perjalanan, selain mematuhi had laju serta mengekalkan jarak selamat.

“Dengan peningkatan jumlah kenderaan yang dijangka di jalan raya, WCE komited menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang cekap di samping menggalakkan setiap pengguna memainkan peranan dalam memastikan keselamatan bersama.

“Justeru, kami menggalakkan pengguna agar merancang masa perjalanan, sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling serta mengamalkan sikap bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya lain,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved