Wei Chong-Kai Wun mara perlawanan akhir Terbuka Taiwan

23 Jul 2022 • 4:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

BEREGU muda lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun kini selangkah untuk meraih kejuaraan kedua musim ini apabila mara ke perlawanan akhir Terbuka Taiwan selepas menundukkan pasangan tuan rumah sebentar tadi.

Pasangan yang kini berada di ranking ke-36 dunia tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Su Ching Heng-Ye Hong Wei menerusi kemenangan straight set 21-13, 22-20 dalam pertarungan yang berlangsung selama 51 minit.

Pada Januari lalu, Wei Chong-Kai Wun mencipta kejutan apabila muncul juara di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala, 21-18-21-15.

Dalam aksi lain, hasrat peminat badminton tanah air untuk melihat dua lagi wakil negara mara ke perlawanan akhir kejohanan itu tidak kesampaian selepas mereka kecundang di tangan lawan masing-masing.

Pemain perseorangan profesional negara, Soong Joo Ven yang melakar kejutan ke atas pemain India, Kashyap Parupalli pada Jumaat, gagal meneruskan rentak konsisten selepas akur tewas kepada wakil tuan rumah yang juga pilihan pertama perlawanan, Chou Tien Chen, 12-21,12-21.

Selain Joo Ven, turut terkandas di peringkat separuh akhir adalah beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei yang tumpas kepada pasangan Hong Kong, Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau, 21-17, 17-21, 12-21 dalam tempoh masa 51 minit.