
Kota Kinabalu: Pemain Sabah, Lai Wen Li meneruskan prestasi cemerlangnya dalam jelajah sirkit Amerika Syarikat dengan satu lagi kemenangan di kejohanan skuasy Kinetic 5K Challenger yang diadakan dari 22-25 November di Kinetic Indoor Racquet Club di Florida.
Dia menepati status sebagai pilihan pertama dengan kemenangan straight set 11-7, 11-7, 11-5 ke atas pemain pilihan kelima Maria Moya dari Ecuador di final yang hanya mengambil masa 33 minit.
Terdahulu dia menewaskan pemain bukan pilihan dari Amerika, Anna Shumway 11-2, 11-6, 11-4 di separuh akhir, menyusuli kemenangannya di suku akhir 12-10, 11-6, 12-10 menentang seorang lagi pemain Amerika, Riya Navani.
Kejayaan terbaharu itu bukan sahaja kejayaan keduanya dalam beberapa bulan ini, dia juga melakukannya dengan bergaya apabila tidak tewas satu set pun sepanjang kejohanan itu.
Lai, yang ketika ini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Cornell di New York turut memenangi gelaran perseorangan wanita pada Kejohanan Skuasy Terbuka Greenwich yang diadakan di Field & Round Hill Clubs, Connecticut bulan lalu.
Pemain berumur 22 tahun dari Kota Kinabalu itu, yang diletakkan selaku pilihan kedua dalam kejohanan berkenaan, mengejutkan pemain pilihan pertama dari England, Alicia Mead 11-8, 12-10, 11-2 di final untuk merangkul mahkota tersebut.
Pada September, dia membantu Sabah memenangi pingat perak bersejarah dalam skuasy pada Sukan Malaysia (Sukma).
Dia bergandingan dengan Yee Xin Ying untuk mara ke final beregu wanita sebelum tewas kepada adik beradik Aifa Azman dan Aira Azman dari Kedah 10-11, 6-11.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
