
Harga jualan RAM dan storan SSD naik dengan mendadak tahun ini disebabkan permintaan tinggi sektor pusat dat kecerdasan buatan (AI). Oleh itu harga jualan telefon pintar, tablet, TV dan komputer tahun ini juga meningkat. Seterusnya yang akan menerima kejutan kenaikan harga ialah storan HDD. Western Digital dalam laporan kewangan mereka yang baru diterbitkan minggu ini berkata kesemua kapasiti pengeluaran HDD mereka sepanjang 2026 telah habis ditempah walaupun kita masih di bulan Februari.

Daripada tempahan ini, 89% adalah untuk pelanggan perusahaan dan hanya 5% daripada kalangan pengguna biasa. Memandangkan pelanggan perusahaan menjana pendapatan serta permintaan tertinggi, ini mendatangkan kerisauan Western Digital akan mengikut langkah Micron menamatkan produk memori Crucial untuk pengguna.
Walaupun HDD tidak lagi sepantas SSD, ia masih adalah pilihan untuk sistem NAS dan mereka yang ingin menyimpan data dalam kapasiti lebih besar daripada SSD. Sekiranya anda mempunyai perancangan membeli storan mudah alih, sekarang ialah masa terbaik kerana harga akan semakin meningkat setiap minggu.

