Weststar, MBSB Bank meterai kemudahan pembiayaan RM1.3 bilion bagi pengembangan perniagaan

LocalBusiness & Finance
3 Oct 2025 • 2:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Weststar, MBSB Bank meterai kemudahan pembiayaan RM1.3 bilion bagi pengembangan perniagaan

image is not available

03/10/2025 - 14:11

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - Weststar Group memeterai kemudahan pembiayaan Islam bersindiket bersama MBSB Bank Berhad sebanyak RM1.3 bilion bagi memacu pertumbuhan perniagaan kumpulan itu.

Perjanjian yang dimeterai itu membuka laluan kepada rumusan pembiayaan, usaha pelaburan serta struktur kewangan inovatif bagi menyokong pertumbuhan Weststar sekali gus mengukuhkan peranan MBSB sebagai rakan kewangan strategik.

Pembiayaan bersindiket itu adalah kerjasama MBSB Investment Bank Berhad (MBSB IB) dengan sokongan empat institusi kewangan, manakala MBSB bertindak sebagai pengatur utama bersama.

Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim berkata, pembiayaan itu akan digunakan bagi membeli helikopter, memenuhi kontrak kerajaan selain mempelbagaikan perniagaan dan menyesuaikan diri dengan permintaan ekonomi global.

Katanya, MBSB merupakan bank yang memberi pembiayaan terbesar dan pihaknya berharap dapat terus mengembangkan perniagaan pengangkutan khususnya dari daratan ke pelantar minyak.

Menerusi pembesaran perniagaan ini, Weststar dapat mencipta 600 peluang pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan dan juruteknik helikopter.

image is not available

“Walaupun penerbangan kekal sebagai teras utama, kami telah berkembang ke dalam pelbagai industri sambil mengekalkan kedudukan sebagai peneraju serantau dalam perkhidmatan helikopter.

"Perjanjian dengan MBSB ini menyediakan rangka kerja kukuh untuk membuka peluang baharu yang disokong rumusan kewangan inovatif, yang kritikal bagi pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam satu majlis yang diadakan di Weststar Aviation Services, Hangar 75, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shan, Subang.

Pengerusi MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyokong Weststar Aviation Services dalam memperluas armadanya serta meningkatkan keupayaannya dalam memastikan ia berada pada kedudukan yang kukuh untuk berkhidmat bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga sektor pertahanan serantau dan rantaian bekalan.

Katanya, MBSB memperuntukkan sejumlah RM5.7 bilion bagi sektor pengangkutan termasuk aeroangkasa sebagai antara pemacu pertumbuhan kumpulan.

"Ini membuktikan keyakinan teguh kami terhadap potensi industri ini, serta kesediaan kami untuk menyalurkan pembiayaan bermakna ke dalam projek penerbangan dan aeroangkasa yang memacu pertumbuhan negara dan daya saing global.

"Bagi kami di MBSB, ia mencerminkan komitmen untuk memperkasakan industri berimpak tinggi dan berfokus masa depan — industri yang mencipta nilai jangka panjang untuk Malaysia.

"Industri penerbangan adalah antara yang terpenting. Ia menjadi pemangkin pertumbuhan, menghubungkan Malaysia dengan dunia, serta memacu peluang, inovasi dan kemajuan merentasi sempadan," katanya. - DagangNews.com

standard

View Original Article