
Selama ini, reaksi mesej di WhatsApp hanya boleh digunakan dengan emoji sahaja, iaitu simbol ringkas seperti senyum, marah atau suka. Namun di sebalik batasan itu muncul keperluan untuk memberi reaksi yang lebih peribadi misalnya menerusi penggunaan pelekat. Kini, WhatsApp sedang menguji ciri tersebut sebagai sebahagian daripada kemas kini akan datang.

Penggunaan pelekat boleh dilihat sebagai medium ekspresi emosi yang lebih menarik berbanding emoji biasa. Cumanya, tidak dapat dipastikan bagaimana pelekat ini akan berfungsi. Sama ada ia hadir dalam bentuk statik atau animasi, apa yang pasti kelak ia akan menjadikan pengalaman memberi respon kepada mesej lebih menyeronokkan. WhatsApp sedang membangunkan ciri ini dengan cara pengguna boleh menekan lama mesej dan memilih pelekat daripada koleksi di mana prosesnya sama seperti memilih emoji.
Dalam pada itu, WhatsApp turut merancang agar satu mesej boleh menerima reaksi pelekat dan emoji serentak. Ia bagaimanapun masih dalam fasa pembangunan yang bermakna berpotensi berubah sebelum pelancaran rasmi.
