
Memberi ucapan setiap kali terdapat ahli baharu memasuki kumpulan boleh menjadi tugas yang agak melelahkan bagi pentadbir. Namun begitu, keadaan ini dijangka dapat diatasi melalui ciri baharu yang sedang dibangunkan oleh WhatsApp iaitu mesej alu-aluan automatik.

Ciri Mesej Alu-Aluan (greeting messages) ini membolehkan pentadbir menetapkan mesej automatik untuk ahli baharu. Mesej ini berfungsi membantu mereka memahami tujuan kumpulan, peraturan serta konteks perbualan dengan lebih cepat. Misalnya seperti “Assalamualaikum dan selamat sejahtera, saya bagi pihak admin mengalu-alukan ahli baharu dalam kumpulan ini.”
Selain itu, hanya satu mesej alu-aluan yang boleh dikongsi untuk semua pentadbir bagi memastikan keseragaman. Tetapan ini bersifat pilihan dan tidak diaktifkan secara automatik sebaliknya pentadbir perlu mengaktifkannya terlebih dahulu melalui bahagian tetapan kebenaran kumpulan. Ciri ini masih dalam pembangunan dan belum tersedia dalam mana-mana versi beta.

Sebelum ini, WhatsApp telah memperkenalkan perkongsian sejarah mesej (25–100 mesej dalam 14 hari terakhir) bagi memudahkan ahli baharu mengikuti perbualan. Semua mesej yang dikongsi dilindungi dengan penyulitan hujung ke hujung sekali gus menjamin privasi pengguna.
Gabungan kedua-dua ciri ini pastinya menjadikan proses komunikasi lebih mesra pengguna dan mudah bagi ahli baharu. Mereka bukan sahaja dapat memahami konteks perbualan dengan cepat malah turut disambut dengan mesej alu-aluan yang memberi persepsi positif terhadap suasana kumpulan.



