WhatsApp Menguji Kebolehan Padam Mesej Dengan Segera Selepas Dibaca Di Peranti iOS

Technology
18 May 2026 • 1:24 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

WhatsApp Menguji Kebolehan Padam Mesej Dengan Segera Selepas Dibaca Di Peranti iOS

WhatsApp sebelum ini telah menyediakan fungsi penghapusan mesej (Disappearing Messages) melalui ruang tetapan yang perlu diaktifkan. Namun, perkembangan terkini menunjukkan penambahan pilihan tempoh masa baharu yang lebih singkat berbanding sebelumnya.

Melalui ciri ini, mesej akan kekal seketika selepas dibaca sebelum dipadam melalui tambahan “After Reading” dengan pilihan masa 5 minit, 1 jam atau 12 jam. Tempoh ini jauh lebih singkat berbanding pilihan asal yang menawarkan tempoh minimum sehari, seminggu atau 3 bulan. Justeru, ia memberikan kawalan tambahan kepada pengguna yang mahukan mesej hilang dengan lebih cepat selepas dibaca.

Image from: WhatsApp Menguji Kebolehan Padam Mesej Dengan Segera Selepas Dibaca Di Peranti iOS

Dalam konteks kehidupan harian, ia sesuai digunakan apabila pengguna mahu memastikan perbualan tertentu tidak disimpan lama. Contohnya ketika berkongsi maklumat sensitif seperti kata laluan, butiran transaksi atau maklumat kerja yang hanya relevan untuk jangka masa singkat. Begitu juga dengan perbualan ringkas yang tidak perlu direkodkan atau hanya penting pada saat tertentu.

Ciri ini juga boleh dianggap sebagai satu lapisan tambahan kepada mesej sementara kerana ia seakan-akan menggabungkan fungsi “View Once” dan “Disappearing Messages”. Dengan adanya pilihan baharu ini, pengguna boleh menetapkan tempoh singkat sebelum mesej dipadam secara automatik.

Buat masa ini, ciri tersebut hanya tersedia kepada sebahagian pengguna beta terpilih di iOS dan sebelum ini telah muncul di Android beta. Pengguna lain dijangka akan menerima akses dalam beberapa bulan akan datang bergantung kepada jadual pelancaran rasmi WhatsApp.