
Selepas bertahun-tahun dinantikan, WhatsApp akhirnya secara rasmi mula memperkenalkan ciri nama pengguna ataupun username. Lebih menarik, WhatsApp kini sudah mula membenarkan pengguna menempah nama pengguna pilihan mereka lebih awal sebelum ciri tersebut dilancarkan secara rasmi lewat tahun ini.
Dengan adanya ciri nama pengguna ini, anda tidak lagi perlu berkongsi nombor telefon peribadi untuk berhubung dengan orang lain di WhatsApp.
Kenapa anda perlu tempah nama pengguna WhatsApp sekarang?
Sejak diperkenalkan, WhatsApp bergantung sepenuhnya kepada nombor telefon sebagai identiti utama pengguna. Ini bermakna, anda terpaksa berkongsi dan mendedahkan nombor telefon sebenar setiap kali mahu bersembang dengan individu baharu atau menyertai grup awam. Pengenalan nama pengguna ini pastinya akan membantu memastikan privasi yang lebih baik.
Sebaik sahaja ciri ini diaktifkan sepenuhnya hujung tahun nanti, anda hanya perlu memberikan nama pengguna sahaja (bukan lagi nombor telefon) apabila mahu berkongsi kenalan WhatsApp sama seperti cara kita bertukar akaun Instagram.
Langkah ini menambah satu lagi lapisan privasi, terutamanya jika anda menyertai komuniti atau kumpulan awam, melakukan urusan jual beli barang secara dalam talian, beramah mesra di acara terbuka, berkongsi kenalan WhatsApp di media sosial, mahupun ketika mengendalikan akaun perniagaan kecil dan pencipta kandungan.
WhatsApp turut menyatakan bahawa mereka tidak akan menyediakan direktori awam, fungsi carian nama pengguna, mahupun cadangan akaun. Seseorang itu perlu mengetahui nama pengguna anda dengan tepat sebelum mereka boleh menghubungi anda buat kali pertama.
Selain itu, satu fungsi pilihan keselamatan tambahan (username key) juga boleh diaktifkan untuk mengawal dengan lebih ketat siapa yang boleh menghantar mesej kepada anda.
Malah, apabila anda menghantar mesej kepada akaun perniagaan (business account), mereka tidak lagi dapat melihat nombor telefon anda sekiranya ciri nama pengguna ini diaktifkan.
Cara untuk tempah nama pengguna anda



Proses untuk menempah nama pengguna WhatsApp ini hanya memerlukan beberapa langkah mudah:
- Pastikan aplikasi WhatsApp anda telah dikemas kini kepada versi terbaharu.
- Pergi ke bahagian Settings (Tetapan) > Account (Akaun) > Username (Nama Pengguna).
Jika nama pengguna yang sama digunakan pada Instagram atau Facebook masih tersedia, WhatsApp turut membenarkan pengguna menggunakan nama pengguna yang sama bagi memudahkan penggunaan identiti yang konsisten merentas platform Meta.
Ciri yang sudah lama dinantikan
Kemunculan ciri nama pengguna ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Laporan mengenai pembangunan ciri tersebut telah muncul sejak beberapa tahun lalu, dengan WhatsApp dilihat menguji sokongan username dalam beberapa versi beta sebelum ini.
Dengan pengenalan ciri baharu ini, WhatsApp kini dilihat semakin menghampiri aplikasi permesejan lain seperti Telegram dan WeChat yang telah lama menyokong penggunaan nama pengguna.
Selain memudahkan pengguna berhubung dengan orang baharu, penggunaan username juga menawarkan cara yang lebih selamat untuk berkomunikasi tanpa perlu mendedahkan nombor telefon peribadi.
[Sumber: WhatsApp]




