USAHA memperkukuh mobiliti mampan di Selangor terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan USTEU Hong Kong Limited (USTEU) bagi membangunkan sehingga 4,000 infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negeri menjelang 2030.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, pengembangan stesen pengecasan EV (EVCS) merupakan pemangkin penting dalam mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah mobiliti mampan.
Menurutnya, inisiatif tersebut mencerminkan pendekatan proaktif Selangor dalam memajukan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.
“Ia akan memperluas akses kepada rangkaian pengecasan awam yang komprehensif, meningkatkan kemudahan pengguna serta memperkukuh keyakinan terhadap peralihan ke arah mobiliti yang lebih bersih dan kos efektif.
“Saya berharap dapat melihat kejayaan pelaksanaan projek ini serta menyaksikan Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri peneraju dalam pembangunan tenaga bersih,” katanya sempena Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan di sini, pada Selasa.
WHB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Datin Paduka Norazlina Zakaria, manakala USTEU diwakili pengerusinya, Tao Xu.
Kerjasama tersebut selaras dengan sasaran Selangor untuk melaksanakan sehingga 4,000 EVCS menjelang tahun 2030, sekali gus memperkukuh komitmen negeri dalam mempercepatkan mobiliti rendah karbon serta memajukan agenda tenaga bersih.
Di bawah MoU berkenaan, USTEU akan bertindak sebagai penyedia teknologi dengan menawarkan penyelesaian pengecasan EV yang canggih serta kepakaran teknikal.
Syarikat tersebut merupakan pengeluar pengecas EV antarabangsa dari China yang telah mengeksport lebih 2.8 juta unit pengecas secara global, dengan 1.6 juta unit telah dipasang.
Sementara itu, WHB akan berperanan sebagai pengurus program pembangunan EV di Selangor, termasuk menyelaras pelaksanaan, memastikan keselarasan dengan keutamaan negeri serta memantau pembangunan infrastruktur di lokasi strategik.
Norazlina berkata, WHB komited menyokong agenda tenaga bersih negeri melalui pelaksanaan infrastruktur yang tersusun dan mampan.
“Sebagai syarikat milik kerajaan negeri yang diberi amanah untuk memacu inisiatif tenaga boleh baharu, WHB komited untuk menyokong agenda tenaga bersih Selangor.
“Peranan kami sebagai pengurus program pembangunan EV mencerminkan tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan infrastruktur yang tersusun, bersedia untuk masa depan dan selaras dengan matlamat kelestarian jangka panjang negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Tao Xu menyifatkan Selangor sebagai lokasi pelaburan strategik dengan sokongan dasar yang jelas serta infrastruktur kukuh.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan WHB dalam memajukan peralihan tenaga Selangor.
“Selangor menawarkan persekitaran pelaburan yang kondusif, disokong oleh infrastruktur kukuh dan hala tuju dasar yang jelas. Kami berharap dapat menyumbang kepakaran teknologi dan pelaburan kami bagi menyokong pembangunan rangkaian pengecasan EV yang komprehensif di negeri ini,” katanya.
Pembangunan stesen pengecasan EV berskala besar tersebut dijangka meningkatkan akses kemudahan pengecasan khususnya di kawasan bandar utama dan koridor pertumbuhan, selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dalam kalangan pengguna dan sektor perniagaan.



