
Sejak ledakan pengenalan kecerdasan buatan (AI) berlaku pada tahun 2023, fungsinya berubah daripada sebuah chatbot untuk menulis menjadi penganalisa dokumen, menjadi video, menjana gambar, menjana audio, pengaturcaraan dan terkini kemampuan mencari kerentanan sekuriti pad sistem sedia ada. Ia turut membuka mata agensi risikan mengenai potensi AI digunakan bagi tujuan pengumpulan maklumat rahsia yang penting.
New York Times melaporkan White House telah meluluskan pelaburan bernilai $9 bilion untuk Agensi Risikan Pusat (CIA) dan Agensi Keselamatan Negara (NSA) untuk membina pusat data AI dengan cip terkini mereka sendiri. Ini bagi membolehkan CIA dan NSA menjalankan model AI yang paling terkini bagi tujuan risikan. Selama ini mereka tidak mempunyai infrastruktur perkakasan mencukupi untuk menjalankan model AI generatif moden, menyebabkan operasi risikan ketinggalan berbanding kemampuan perkomputeran AI sektor swasta seperti OpenAI dan Google. Walaupun pelaburan diluluskan oleh White House, ia masih perlu mendapat kelulusan Kongres untuk diteruskan.

Proses keselamatan yang ketat menjadikan pemasangan perkakasan baharu sangat perlahan, sedangkan model AI kini memerlukan kuasa pengkomputeran jauh lebih besar daripada jangkaan sebelum ini. NSA misalnya menggunakan perkhidmatan Amazon Web Services untuk keperluan perkomputeran semasa. Namun begitu AWS mengambil masa panjang untuk dinaik taraf kepada cip NVIDIA Grace Blackwell baharu dan pengasingan pusat data perlu dilakukan bagi memenuhi keperluan rahsia negara.
Dengan pusat data sendiri, CIA dan NSA mahu menjalankan model AI sepenuhnya dalam rangkaian tertutup, tanpa bergantung pada sistem awanan komersial. Pelaburan $9 bilion ini ini menandakan AI kini dianggap infrastruktur kritikal, setara dengan satelit atau sistem penyulitan negara. Permintaan kerajaan akan memacu inovasi dalam industri semikonduktor, termasuk NVIDIA, Intel, AMD dan TSMC, kerana keperluan keselamatan yang sangat khusus.
Pada waktu yang sama Amerika mengenakan halangan export cip AI berkuasa tinggi ke negara yang dianggap berisiko seperti Rusia dan China. Akibatnya China melakukan pelaburan besar membangunkan cip tempatan menerusi Huawei sehingga pegangan pasaran cip AI buatan NVIDIA kini sifar di negara tersebut.
Google minggu lalu mengesan penggunaan AI untuk melakukan serangan siber. Pada waktu yang sama Claude Mythos telah menemukan lebih 10,000 kerentanan sekuriti pada sistem yang digunakan sekarang. Ini menjadi sebab mengapa Mythos tidak diberikan akses kepada semua. Sekiranya AI dengan kemampuan sama jatuh ke tangan pihak yang salah, impaknya terhadap sekuriti adalah cukup besar.


