Wilayah Pantai Timur berpeluang besar muncul sebagai koridor pelaburan baharu bernilai tinggi - MIDA

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Wilayah Pantai Timur berpeluang besar muncul sebagai koridor pelaburan baharu bernilai tinggi - MIDA Image from: Wilayah Pantai Timur berpeluang besar muncul sebagai koridor pelaburan baharu bernilai tinggi - MIDA amree08/09/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept — Wilayah Pantai Timur berpotensi besar muncul sebagai koridor pelaburan baharu bernilai tinggi susulan pembangunan infrastruktur strategik termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang bakal meningkatkan akses pasaran dan bekalan apabila beroperasi mulai Januari 2027.

 

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), potensi itu semakin ketara apabila Pahang, Kelantan dan Terengganu mencatatkan RM61.4 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh 2021 hingga Jun 2026, melibatkan 1,746 projek yang dijangka mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan.

 

Perkembangan positif berkenaan ujarnya, menunjukkan ruang pelaburan yang luas di wilayah tersebut, khususnya bagi pelaburan asing dan domestik yang mampu memperkukuh ekosistem rantaian industri serta menghasilkan aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi.

 

"ECRL dijangka menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan tersebut dengan membuka ruang kepada pembangunan hab logistik, pembangunan berorientasikan transit dan kargo serta projek industri dan ekonomi baharu di sepanjang koridor berkenaan," katanya dalam kenyataan.

 

Kesalinghubungan lebih baik juga berpotensi meningkatkan daya tarikan Pantai Timur sebagai lokasi operasi kepada syarikat yang memerlukan akses cekap kepada bahan mentah, tenaga, tenaga kerja dan pasaran, selain mengukuhkan integrasi wilayah dengan rantaian bekalan nasional dan serantau.

 

Potensi itu diketengahkan MIDA menerusi Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 di Kuantan, Pahang dengan pada masa sama, agensi tersebut merujuk kekuatan sedia ada setiap negeri boleh menjadi asas kepada kemasukan banyak pelaburan baharu.

 

MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid_DagangNews2026
SIKH SHAMSUL IBRAHIM SIKH ABDUL MAJID

 

Pahang mempunyai ekosistem industri, kawasan perindustrian dan Pelabuhan Kuantan, manakala Kelantan mempunyai kelebihan sebagai gerbang perdagangan dengan Thailand serta potensi dalam sektor halal, industri berasaskan sumber dan logistik.

 

"Terengganu pula dilihat mempunyai potensi besar dalam menarik pelaburan sektor bernilai tinggi, dengan pembangunan infrastruktur strategik termasuk ECRL dijangka meningkatkan daya saing negeri itu sebagai lokasi pelaburan," tambahnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti serta memudah cara peluang pelaburan yang dapat memanfaatkan pembangunan ECRL.

 

Beliau menambah, tumpuan turut diberikan kepada memastikan pelaburan asing dan domestik menghasilkan limpahan kepada ekosistem tempatan, termasuk peluang dalam bidang pembekalan, logistik, penyelenggaraan, perkhidmatan teknikal, pemprosesan dan komponen.

 

Usaha memperluas manfaat pelaburan itu turut melibatkan syarikat tempatan dan usahawan Bumiputera menerusi inisiatif seperti #investlokal, selain menggalakkan perusahan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan meneroka akses kepada pasaran modal sebagai sumber pertumbuhan.

 

"Pendekatan bersepadu bersama kerajaan negeri serta lebih 10 agensi akan terus diperkukuh bagi memastikan Pantai Timur berkembang sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing, inklusif dan bernilai tinggi, yang memperluas manfaat pembangunan kepada masyarakat setempat," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved