
Generasi Z muncul sebagai kelompok paling rapat dengan kecerdasan buatan (AI). Kajian terbaru oleh Kaspersky mendapati separuh daripada Gen Z di Asia Pasifik bukan sahaja menggunakan AI secara aktif, malah sebahagian besar sudah mula menganggap teknologi ini sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian. Data tersebut turut menegaskan bahawa Gen Z merupakan generasi paling aktif berbanding generasi lain di rantau Asia Pasifik.

Antara tujuan utama Gen Z menggunakan AI ialah 57% untuk mencari maklumat, 54% bagi menyiapkan tugasan atau projek dan 50% untuk mendapatkan inspirasi kandungan media sosial. Lebih membimbangkan, hampir satu pertiga (32%) menganggap AI sebagai teman peribadi kerana ia tidak menilai atau mengkritik. Fenomena ini turut ketara di Asia Pasifik, dengan peratusan 39% di Indonesia, 35% di Vietnam, 34% di Thailand, 33% di Malaysia dan 32% di India yang melihat AI sebagai teman peribadi.

Angka ini menunjukkan kecenderungan tersebut bukanlah kes terpencil, sebaliknya satu trend serantau yang semakin ketara. Lebih membimbangkan, sebahagian pengguna mula menjadikan AI sebagai ruang meluahkan hal peribadi yang sukar dikongsi dengan orang lain, seolah-olah ia berfungsi sebagai saluran emosi. Namun hakikatnya, AI bukan manusia dan jawapannya tidak semestinya tepat.

Pada masa sama, tahap kesedaran keselamatan dalam penggunaan AI masih rendah. Kurang separuh pengguna mengambil langkah perlindungan, manakala selebihnya hanya berhati-hati sekali-sekala. Situasi ini menimbulkan risiko seperti penyebaran maklumat salah serta pendedahan data sensitif yang boleh menjejaskan keselamatan.
Justeru itu, penting untuk sentiasa menyemak maklumat dengan sumber lain, mengelakkan perkongsian data sulit, serta memahami dasar privasi setiap platform yang digunakan. Kajian ini dijalankan oleh Kaspersky pada Mac 2026 yang melibatkan seramai 7200 responden dari 18 negara termasuk Malaysia.





