Winamp merupakan salah satu pemain media yang sangat popular ketika era awal 2000-an. Salah satu kelebihannya selain memainkan muzik dengan mudah, ia turut membolehkan pengguna mengubah rekaan dan paparannya mengikut citarasa masing-masing.
Kini, dibawah pengurusan baharu, pihak Winamp mengambil langkah untuk menawarkan kod sumber untuk pemain legasi mereka ini dalam bentuk terbuka. Ini sekaligus membolehkan orang ramai untuk turut menyumbangkan sokongan pembangunan dalam terus hadir dengan versi baharu untuk pemain berkenaan.

Walaubagaimanapun, dibawah lesen penawaran kod sumber berkenaan, ia tidak ditawarkan dalam bentuk sumber terbuka sepenuhnya, dan tidak membenarkan penggunaan komersil untuk kod berkenaan. Ini sekaligus membuatkan komuniti tidak boleh hadir dengan versi lebih baik seperti yang diharapkan, tetapi tertakluk kepada pelesenan baharu Winamp sendiri.
Apa pun, bagi anda yang berminat, boleh menyemak kod sumber untuk Winamp ini melalui laman GitHub hari ini.

