
Kuala Lumpur: Anwar Ibrahim menyampaikan saguhati sebagai tanda penghargaan kepada tujuh pemuda yang bertindak berani menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil dalam kejadian di Tasik Biru, Kundang, baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, penghargaan itu disampaikan ketika majlis berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana pada Jumaat.
Menurutnya, tindakan pantas dan penuh keberanian ketujuh-tujuh pemuda berkenaan wajar dipuji serta dijadikan teladan oleh masyarakat.
“Saya telah mengundang tujuh pemuda yang bertindak pantas dan penuh keberanian menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil dalam nahas di Kundang baru-baru ini untuk berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana hari ini.
Tindakan mereka yang tanpa ragu mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa insan lain adalah cerminan nilai kemanusiaan yang luhur serta semangat ihsan yang amat tinggi,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Beliau turut menegaskan bahawa penghargaan tersebut adalah sebagai tanda terima kasih atas jasa dan keberanian yang dipamerkan.
“Sesungguhnya, tujuh pemuda ini bukan sahaja wira kepada keluarga yang diselamatkan, malah lambang kemuliaan akhlak, keinsanan dan semangat solidariti rakyat Malaysia yang sentiasa bersedia membantu tanpa mengira latar belakang,” katanya lagi.
Terjun ke tasik selamatkan mangsa
Dalam kejadian Isnin lalu di Tasik Biru, tujuh pemuda terbabit bertindak terjun ke dalam tasik selepas sebuah kenderaan dinaiki seorang wanita bersama dua anak perempuannya terjunam ke dalam air.
Memetik laporan Bernama, kesemua mangsa berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas mereka sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut.
Tujuh pemuda berkenaan ialah Mohd Shahrizal Jarami, 40; Mohamad Fahmi Ismail, 33; Hariz Ismat Ruzaiizan, 26; Mohamad Zulfadhli Mohd Nasir, 23; Muhammad Aiman Hakimi Mohd Rosnizam, 23; Muhammad Nor Haiqal Abd Karim, 23; dan Adam Syah Reza Hendri, 19.
Wanita berusia lingkungan 40-an itu bersama dua anaknya yang masing-masing berusia tiga dan enam tahun dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.
Keberanian spontan tujuh pemuda berkenaan mendapat perhatian ramai di media sosial dan disifatkan sebagai contoh terbaik semangat kebersamaan serta nilai kemanusiaan rakyat Malaysia. – The Malaysian Update
The post Wira Tanpa Uniform: Anwar Hargai 7 Pemuda Pertaruh Nyawa Selamatkan Ibu dan Dua Anak di Tasik Biru appeared first on The Malaysian Update.

