World #QuranHour seru generasi muda bangun bina tamadun berteraskan al-Quran

5 Mar 2026 • 1:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Para pelajar juga tidak ketinggalan mempergiatkan kempen World #QuranHourFoto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
image is not available
Abdullah (tengah) bersama tenaga pengajar dan pelajar memberikan sokongan kepada kempen World #QuranHour anjuran Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) yang berlangsung di Dewan Utama KTD, Kota Bharu pada Khamis.Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Surah al-Muzzammil yang diangkat dalam kempen World #QuranHour kali ini dilihat sebagai panduan penting dalam membina generasi muda yang berilmu, beriman serta mampu memikul tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

Pengarah EQ Resources Sdn Bhd, Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), Dr Abdullah @ Sudin Ab Rahman berkata, mesej yang terkandung dalam surah berkenaan sangat relevan khususnya dalam membentuk jati diri anak muda masa kini.

Menurut beliau, golongan muda perlu bangkit melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sekiranya mahu melihat pembangunan tamadun yang lebih baik pada masa hadapan.

"Dalam konteks di KTD, Surah al-Muzzammil ini menjadi satu garis panduan kepada kita untuk membina generasi baharu.

"Tidak kira generasi mana sekali pun, golongan muda perlu bangun dan melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Jika tidak dibangunkan tamadun yang berasaskan pembangunan jiwa seperti yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW dan dianjurkan oleh al-Quran, maka sukar untuk kita membina masyarakat yang benar-benar kukuh,” katanya pada Khamis.

**media[3453545]**

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program kempen World #QuranHour anjuran Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) yang berlangsung di Dewan Utama KTD di sini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, generasi muda perlu mempersiapkan diri dengan ilmu serta kembali menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam menjalani kehidupan.

Menurutnya, tanpa ilmu seseorang itu akan mudah terjerumus dalam kejahilan dan gagal memahami peranan sebenar sebagai khalifah di dunia.

"Al-Quran perlu dijadikan rujukan untuk membetulkan perjalanan hidup kita. Dengan beriman kepada kitab ini, kita dapat membina diri dan masyarakat yang lebih baik," katanya.

World #QuranHour dijadualkan berlangsung pada 11 Mac ini akan diadakan di Masjid As Siddiqin, Pengkalan Chepa dan menjadi sebahagian daripada kempen pembinaan insan yang menekankan kekuatan dalaman, keseimbangan emosi serta pembentukan generasi berakhlak dalam menghadapi cabaran dunia moden.