World #QuranHour wadah mengangkat martabat mukjizat al-Quran

11 Mar 2026 • 3:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shahizan Affandi (depan, empat dri kiri) dan Afnan Hamimi (depan, tiga kanan) bersama para peserta #QuranHour peringkat negeri Kedah yang berlangsung di Masjid Sultanah Bahiyah di Alor Setar pada Rabu. Gambar kecil dari kanan: Che Harishon dan Mohd Feriza

ALOR SETAR – Lebih 300 peserta hadir memeriahkan program #QuranHour peringkat negeri Kedah yang berlangsung di Masjid Sultanah Bahiyah di sini pada Rabu dengan pengisian rohani dan aktiviti sampingan yang berjaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

Program yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah buat kali ke-11 itu bermula seawal jam 9 pagi dengan ceramah agama, sebelum bacaan Surah al-Muzzammil dilaksanakan tepat jam 12 tengah hari.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Shahizan Affandi Zakaria, berkata pihaknya merangka pelbagai aktiviti sampingan seperti pertandingan qasidah, gubahan sejadah dan nasyid kanak-kanak bagi menarik minat masyarakat untuk bersama-sama mengimarahkan al-Quran.

Menurutnya, program #QuranHour bukan sahaja menjadi platform tadabbur al-Quran, malah turut memperkukuh ukhuwah masyarakat melalui aktiviti seni Islamik dan penglibatan pelbagai peringkat umur.

“Peserta terdiri daripada jabatan kerajaan, pelajar tahfiz serta penduduk kariah masjid. Setiap tahun lokasi penganjuran ditukar bagi memberi peluang lebih ramai masyarakat terlibat dalam #QuranHour,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang peserta, Che Harishon Othman, 56, menyifatkan pengalaman pertama menyertai program secara langsung sangat bermakna.

Menurutnya, pengalaman mengikuti program tersebut disifatkan sebagai bermakna buatnya kerana dapat menyertai komuniti setempat secara langsung.

“Sebelum ini saya hanya mengikuti secara dalam talian kerana kekangan kerja. Program ini amat baik kerana dapat mengimarahkan al-Quran, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Mohd Feriza Ismail, 55, dari Jalan Pegawai di sini pula hadir bersama kumpulan Masjid Aman.

Beliau menyifatkan #QuranHour sebagai wadah yang mengangkat al-Quran sebagai mukjizat untuk semua.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.