liza23/11/2026 - 16:53 CEO Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin (lima dari kiri) menerima anugerah tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov – Worldwide Holdings Berhad (WHB), menerusi anak syarikatnya Worldwide TG12 WTE Sdn Bhd meraih tempat kedua bagi kategori Pelaburan Tertinggi oleh Syarikat Tempatan di Selangor bagi Sektor Perkhidmatan (Projek Baharu 2025) pada Anugerah Penghargaan Pelabur Selangor 2025.
Pengiktirafan itu berdasarkan data pelaburan yang dikumpulkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencerminkan sumbangan syarikat dalam pembangunan infrastruktur pengurusan sisa di Selangor menerusi projek Sisa kepada Tenaga (WTE) Tanjung Dua Belas.
Anugerah berkenaan disampaikan pada majlis anjuran Invest Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Majlis itu turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han, selain pelabur serta pemain industri utama.
Tanjung Dua Belas projek WTE ketiga syarikat
Projek WTE Tanjung Dua Belas merupakan loji sisa kepada tenaga ketiga WHB dan sebahagian daripada usaha syarikat membangunkan penyelesaian pengurusan sisa pepejal perbandaran yang lebih mampan, cekap dan berjangka panjang di Selangor.
Syarikat itu menyatakan pembangunan berkenaan turut menyokong peralihan negeri daripada kebergantungan terhadap tapak pelupusan konvensional kepada sistem pengurusan sisa yang lebih mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin berkata, pengiktirafan itu mencerminkan kepentingan pelaburan berterusan dalam pembangunan infrastruktur bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.
Beliau berkata, pembangunan Tanjung Dua Belas memanfaatkan pengalaman serta keupayaan yang dibangunkan syarikat selama ini bagi memperkukuh infrastruktur rawatan sisa di Selangor dan mengurangkan kebergantungan negeri terhadap tapak pelupusan konvensional secara berperingkat.
“Pelaburan itu bukan sekadar membangunkan sebuah lagi fasiliti, sebaliknya menyediakan infrastruktur dan kapasiti yang diperlukan Selangor untuk beberapa dekad akan datang.
“Pada masa sama, projek berkenaan bertujuan menjana nilai lebih tinggi daripada sisa melalui penjanaan tenaga dan pemulihan sumber,” katanya dalam satu kenyataan.
Perluas portfolio WTE ke luar Selangor
Ahmad Zaki berkata, pengembangan portfolio WTE WHB turut mencerminkan aspirasi syarikat untuk menyumbang secara lebih meluas kepada pembangunan sektor pengurusan sisa di Malaysia.
Katanya, selepas membangunkan keupayaan di Selangor, syarikat kini memperluas pengalaman dan kepakarannya ke negeri lain memandangkan teknologi WTE mempunyai potensi untuk menjadi sebahagian daripada strategi pengurusan sisa jangka panjang negara.
Perkembangan operasi WTE WHB menyaksikan loji pertamanya di Jeram mula beroperasi secara komersial pada Mei 2026, selain projek WTE Bukit Payong di Johor yang memperluas kehadiran syarikat di luar Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat usaha sama WHB, Bestari Solar Sdn Bhd turut meraih kedudukan tertinggi bagi jumlah pelaburan di Selangor.
Pencapaian itu mencerminkan sumbangan WHB bukan sahaja dalam sektor pengurusan sisa menerusi teknologi WTE, malah dalam pembangunan tenaga boleh baharu di negeri berkenaan.
Secara keseluruhannya, pelaburan berkenaan mengukuhkan peranan strategik WHB dalam menyokong agenda pembangunan mampan Selangor serta kedudukannya sebagai antara pemain utama dalam sektor sisa kepada tenaga di Malaysia. - DagangNews.com





