hamden20/11/2026 - 18:06 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov – MN Holdings Berhad (MN Holdings) mengukuhkan kedudukannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (TBB) apabila memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM1.12 bilion bagi pembangunan dua kemudahan solar berskala besar (LSS) di Kemaman, Terengganu.
Kontrak itu bukan sahaja merupakan perolehan terbesar dalam sejarah kumpulan, malah menandakan penglibatan sulung MN Holdings dalam segmen EPCC solar berskala besar, sekali gus memperluas portfolio perniagaannya melangkaui kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pencawang elektrik.
MN Holdings dalam kenyataan memaklumkan, anak syarikat milik penuhnya, MN Utilities Engineering Sdn Bhd (MNUE) memeterai kontrak berkenaan sebagai sebahagian daripada konsortium bersama China Railway 11th Bureau Group Electric Engineering Co Ltd (CRCC11GEE) dan DB Energy Sdn Bhd (DB Energy).
MNUE akan bertindak sebagai peneraju konsortium bagi projek yang melibatkan pembangunan dua kemudahan LSS dengan kapasiti eksport berkontrak masing-masing sebanyak 250 megawatt arus ulang-alik (MWac) dan 150MWac, menjadikan jumlah kapasiti gabungan sebanyak 400MWac.
Projek itu dilaksanakan menerusi perjanjian kontrak dengan RE Kemaman Sdn Bhd dan RE Kemaman II Sdn Bhd, merangkumi reka bentuk bersepadu, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan, termasuk kemudahan sambungan grid serta kerja berkaitan di bawah Program LSS PETRA 5+.
Pelaksanaan projek dijangka bermula selepas penerimaan Notis Untuk Memulakan Kerja (NTP) atau Notis Terhad Untuk Memulakan Kerja (LNTP) daripada pelanggan dan disasarkan siap menjelang 2028.
Langkah penting memperluas keupayaan perniagaan.
Pengurusan MN Holdings berkata, kejayaan memperoleh kontrak terbesar kumpulan setakat ini serta penglibatan pertama dalam projek EPCC solar berskala besar menandakan langkah penting dalam usaha memperluas keupayaan perniagaan.
Katanya, projek itu membolehkan kumpulan memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam utiliti bawah tanah dan infrastruktur tenaga voltan tinggi untuk meneroka segmen tenaga boleh diperbaharui, sekali gus memperluas penyertaannya dalam peralihan tenaga negara.
MN Holdings turut merancang untuk terus meneroka peluang dalam projek tenaga boleh diperbaharui dengan memanfaatkan keupayaan teknikal serta pengalaman pelaksanaan projek sedia ada.
Selain perniagaan teras kejuruteraan dan pembinaan, kumpulan itu juga sedang meneliti peluang pelaburan ekuiti strategik dalam projek tenaga boleh diperbaharui bagi membangunkan sumber pendapatan berulang secara berperingkat.
Menurut pengurusan, langkah itu bertujuan melengkapi pendapatan berasaskan projek, selain mewujudkan asas pendapatan lebih pelbagai dan mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com





