SHAH ALAM - Program World #QuranHour diadakan secara istimewa kerana ia disaksikan seluruh dunia.
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata, apatah lagi pada tahun ini program berkenaan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.
Menurutnya, penggunaan bahasa itu menarik perhatian alumni UIAM di lebih 140 negara untuk menganjurkan program berkenaan di peringkat masing-masing.
"Bagi pihak universiti saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kerana ini bukan kali pertama, malah berkali-kali bekerjasama dalam menjayakan program Quran Hour.
"Kita mempunyai alumni yang ramai, beribu-ribu di seluruh negara. Jadi bila penyampaian dalam bahasa Inggeris, mereka juga turut serta
"Saya percaya program ini akan memberi inspirasi kepada mereka. Biasanya lepas habis program ada yang akan hubungi saya ucap terima kasih," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada World #QuranHour (WQH) 2026 di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Rabu.
WQH 2026 yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya tahun ini mengangkat surah al-Muzzammil sebagai surah pilihan dengan tema ‘Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia’.
Ia dianjurkan oleh WUIF dan turut dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama UIAM selaku rakan penganjur.
Menariknya, edisi 2026 mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya sesi tadabbur dan perkongsian utama disampaikan dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan mesej al-Quran difahami oleh masyarakat antarabangsa yang lebih luas.
Tambah Osman, dalam masa sama program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk menekankan surah al-Muzzammil yang telah dibaca, didengar dan difahami melalui tafsir serta huraian.
"Surah ini sangat penting dalam pembangunan ummah secara menyeluruh bukan sekadar material, tetapi jasmani, akhlak, dan rohani secara bersepadu.
"Universiti kita sentiasa berhasrat memberi peluang untuk bersama-sama dalam pembangunan ini," katanya.


