
PAPAR: Kumpulan WSG mengihsankan tanah seluas kira-kira dua ekar kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi pembinaan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) 33/11kV Benoni sebagai usaha memperkukuh bekalan elektrik di daerah ini.
Pengarah Urusan Kumpulan WSG Datuk Susan Wong berkata penyediaan tapak itu dibuat selepas SESB memaklumkan kira-kira lima tahun lalu bahawa kapasiti bekalan elektrik sedia ada tidak mencukupi untuk menampung pembangunan berskala besar khususnya projek kondominium di kawasan berkenaan.
“Apabila pihak SESB datang dan memaklumkan mereka memerlukan tapak untuk PPU di kawasan ini, kami menyediakan tanah dan beberapa lokasi kemudian ditinjau sebelum tapak ini dipilih.
“Jadi, hari ini saya amat gembira kerana PPU Benoni bernilai RM28.8 juta ini akhirnya dapat dirasmikan dan beroperasi bagi menyokong keperluan bekalan elektrik di kawasan ini,” katanya pada majlis perasmian PPU 33/11kV Benoni oleh Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali di sini, Khamis.
Susan berkata kemudahan itu akan memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat Papar melalui penyediaan bekalan elektrik yang lebih berkeupayaan untuk menampung pertumbuhan penduduk dan aktiviti ekonomi.
Menurutnya, proses pecah bahagi hak milik tanah bagi tapak PPU itu masih dalam urusan Pejabat Tanah dan pihaknya berharap hak milik berkenaan dapat diserahkan kepada SESB dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, katanya, PPU berkenaan amat penting bagi memastikan pembangunan Parklane khususnya projek kondominium dapat disiapkan mengikut jadual.
Bercakap mengenai pembangunan terbaru WSG di Parklane City Benoni, Susan berkata Tower A kini hampir terjual sepenuhnya dan WSG menyasarkan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) sekitar Jun tahun depan.
“Apabila CCC diperoleh, bekalan elektrik daripada PPU ini akan membolehkan penghuni mula masuk ke kondominium ini dan selepas itu, kami akan meneruskan pembangunan Tower B, C dan D secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata pembangunan North Borneo University (NBU) di Parklane juga lancar dan kini memasuki peringkat pemasangan cerucuk. Projek itu disasarkan siap serta diserahkan kepada pihak universiti pada Disember tahun depan.
Katanya, universiti berkenaan dijangka menampung sekurang-kurangnya 2,000 pelajar apabila mula beroperasi pada Januari tahun 2028.
“Keperluan universiti ialah kemudahan penginapan pelajar yang berada dalam jarak berjalan kaki, selain akses mudah ke kawasan membeli-belah dan kemudahan rekreasi.
“Semua itu tersedia dalam pembangunan kami termasuk gelanggang badminton, pickleball dan kemudahan komersial,” katanya.
Susan berkata WSG turut melihat potensi untuk melengkapkan pembangunan berkenaan dengan kemudahan kesihatan susulan cadangan pembinaan sebuah hospital di kawasan itu.
Katanya, sekiranya direalisasikan, kewujudan universiti, hospital, kawasan kediaman dan pusat komersial akan membentuk ekosistem pembangunan bersepadu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Parklane malah masyarakat Papar amnya.



