WTK adakan EGM 6 Oktober untuk putuskan penjualan tiga aset perladangan bernilai RM221.5 juta di Miri

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 2:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

WTK adakan EGM 6 Oktober untuk putuskan penjualan tiga aset perladangan bernilai RM221.5 juta di Miri Image from: WTK adakan EGM 6 Oktober untuk putuskan penjualan tiga aset perladangan bernilai RM221.5 juta di Miri hamden21/09/2026 - 14:18 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Sept - W T K Holdings Bhd (WTK) akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 6 Oktober 2026 bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham berhubung cadangan penjualan tiga aset perladangan di Miri kepada Trinity Capital Resources Sdn Bhd.

 

Dalam pekeling kepada pemegang saham yang turut disiarkan Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata, EGM berkenaan akan diadakan di Sibu, Sarawak.

 

Cadangan pelupusan itu melibatkan jumlah pertimbangan tunai RM221.50 juta dan dijangka menghasilkan keuntungan pro forma bersih kira-kira RM88.65 juta kepada kumpulan.

 

Tiga transaksi yang dicadangkan itu membabitkan pelupusan kepentingan dalam Positive Deal Sdn Bhd serta aset perladangan milik Biogreen Success Sdn Bhd dan Borneo Agro-Industries Sdn Bhd.

 

Bagi Positive Deal, WTK mencadangkan pelupusan 65% kepentingan ekuiti bersamaan 1.95 juta saham biasa serta 23.18 juta Saham Keutamaan Boleh Tebus (RPS) oleh Towering Yield Sdn Bhd dan Bioworld Synergies Sdn Bhd kepada Trinity Capital dengan pertimbangan tunai RM27 juta.

 

Sementara itu, Biogreen Success mencadangkan pelupusan aset perladangan termasuk tanah seluas 4,698.20 hektar di Daerah Tanah Teraja, Miri, dengan nilai pertimbangan RM145.22 juta.

 

Borneo Agro-Industries pula mencadangkan pelupusan aset perladangan termasuk tanah seluas 849.60 hektar di Daerah Tanah Kuala Baram, Miri, pada pertimbangan tunai RM49.28 juta.

 

Mengoptimumkan portfolio aset perladangan

Menurut WTK, cadangan pelupusan itu merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mengoptimumkan dan mengimbangi semula portfolio aset perladangan, selain membolehkan kumpulan menumpukan sumber kepada kawasan operasi teras serta mengurangkan kos logistik.

 

Pengurusan berkata, ladang berkenaan terletak lebih 120 kilometer dari kilang minyak sawit terdekat kumpulan, iaitu Kilang Minyak Sawit Biobest Venture.

 

Keadaan itu menyebabkan kos pengangkutan luar meningkat sehingga RM4.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, selain meningkatkan risiko penurunan kualiti buah.

 

Selain itu, pokok kelapa sawit di ladang berkenaan mempunyai umur purata kira-kira 14 tahun dan memerlukan perbelanjaan modal yang besar untuk penanaman semula serta penyelenggaraan.

 

WTK berkata, pelupusan itu akan membolehkan kumpulan menyusun semula operasi dan mengagihkan sumber kewangan ke kawasan teras yang mempunyai kecekapan kos lebih tinggi.

 

Hasil pelupusan

Daripada hasil pelupusan RM221.50 juta, sebanyak RM188.02 juta atau 84.89% akan diperuntukkan sebagai modal kerja bagi menyokong dan membangunkan operasi perladangan sedia ada seluas kira-kira 26,615 hektar.

 

Sebanyak RM27 juta atau 12.19% pula akan digunakan bagi melangsaikan sepenuhnya pinjaman bank dengan Affin Bank Bhd bagi melepaskan cas ke atas Ladang Biogreen.

 

Langkah itu dijangka memberikan penjimatan faedah sehingga RM1.22 juta setahun kepada kumpulan.

 

Baki RM6.48 juta atau 2.92% akan digunakan untuk pembayaran cukai keuntungan modal, Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) serta anggaran perbelanjaan berkaitan cadangan pelupusan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved