hamden21/09/2026 - 16:27 KUALA LUMPUR 21 Sept - Pemegang unit AmFirst Real Estate Investment Trust (AmFirst REIT) meluluskan cadangan pelupusan Menara AmBank bernilai RM331 juta, sekali gus membuka ruang kepada dana amanah pelaburan hartanah (REIT) itu untuk mempelbagaikan portfolio menerusi pengambilalihan aset baharu termasuk berkaitan hospital.
Ketua Pegawai Eksekutif AmREIT Managers Sdn Bhd, Chong Hong Chuon berkata, pelupusan tersebut dijangka mengurangkan gearing AmFIRST REIT kepada kira-kira 33% daripada 46%-47%, sekali gus mengukuhkan kedudukan kunci kira-kira bagi menyokong strategi kepelbagaian portfolio.
"Bahagian pertama rasionalisasi, saya fikir sudah selesai dengan pelupusan itu. Jadi, sekarang kami akan beralih kepada kepelbagaian," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) AmFirst REIT di sini, hari ini.
Menurutnya, AmFirst REIT telah giat mencari peluang pelaburan sebelum pelupusan tersebut dan menilai pelbagai subsektor hartanah, termasuk aset berkaitan hospital.
"Kami akan mempertimbangkan aset defensif dengan pajakan jangka panjang dan penyewa yang baik, di samping kekal terbuka kepada peluang yang memenuhi kriteria pelaburan kami," katanya.
Susulan pelupusan Menara AmBank, komponen pejabat dalam portfolio aset AmFirst REIT akan berkurangan kepada 45% daripada 62%, sekali gus memberi ruang kepada REIT itu untuk mempelbagaikan lagi campuran aset.
Chong berkata, pengambilalihan berpotensi turut boleh memberi peningkatan kepada pendapatan, khususnya sekiranya AmFirst REIT berjaya memperoleh aset yang menawarkan hasil 6%-7% berbanding kos pinjaman sekitar 4%.
"Kecuali berlaku perkara yang tak dijangka, cadangan pelupusan itu dijangka selesai pada suku terakhir 2026," katanya.
Prospek hartanah pejabat
Mengenai Belanjawan 2027, Chong berkata penghapusan cukai pegangan 10% ke atas pengagihan REIT kekal sebagai antara keutamaan utama industri, sambil menambah bahawa pihak industri sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung perkara itu.
Beliau berkata, industri turut berharap struktur cukai yang lebih mesra perniagaan dapat diperkenalkan susulan peningkatan kos menjalankan perniagaan.
Sementara itu, beliau berkata prospek segmen hartanah pejabat semakin bertambah baik apabila AmFIRST REIT menerima lebih banyak pertanyaan dalam tempoh dua tahun lalu, susulan perniagaan kembali beroperasi secara fizikal di pejabat dan mengembangkan operasi.
"Keadaan lebih baik berbanding ketika dan sejurus selepas pandemik COVID-19, apabila sektor itu terjejas akibat lebihan bekalan serta trend bekerja dari rumah.
"Segmen peruncitan juga menunjukkan momentum positif, manakala sektor hospitaliti terus mencatat permintaan yang menggalakkan, disokong oleh ketibaan pelawat," katanya. - BERNAMA






