WUIF wakaf al-Quran jayakan Hospital Mesra Ibadah di tiga hospital Melaka

LocalHealth & Fitness
7 Apr 2026 • 1:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Azhar dan Marhaini bergambar beramai-ramai selepas selesai sesi taklimat dan penyerahan al-Quran wakaf di JKN Melaka pada Selasa.
image is not available
Dr Azhar menyampaikan siji penghargaan kepada Marhaini mewakili WUIF.

MELAKA - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menyalurkan sumbangan wakaf al-Quran bagi program Hospital Mesra Ibadah di tiga hospital di negeri ini iaitu Hospital Melaka, Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, kerjasama itu terjalin selepas Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menggalakkan kerjasama badan bukan kerajaaan (NGO) dalam menjayakan inisiatif itu

Beliau berharap kerjasama itu dapat menjadi model dalam usaha membumikan ayat-ayat al-Quran dalam persekitaran hospital.

“Kita bukan sekadar menyumbangkan al-Quran, tetapi mahu memperluaskan kolaborasi supaya ayat-ayat suci ini dapat membantu pesakit dari sudut sokongan spiritual.

“Hospital Mesra Ibadah ini sudah mempunyai asas seperti fiqh ibadah, namun kita melihat masih ada ruang untuk diperkasakan, khususnya dalam aspek sokongan rohani kepada pesakit dan petugas,” katanya selepas Program Penyerahan al-Quran wakaf di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka di Wisma Persekutuan di sini pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) JKN Melaka, Dr Azhar Mohd Sali dan Ketua Pegawai Content WUIF, Fazrul Ismail.

Marhaini, pendekatan tersebut juga mampu mencetuskan inovasi baharu dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital, termasuk membantu petugas kesihatan berdepan tekanan emosi ketika menjalankan tugas.

Beliau pada masa sama berharap kerjasama ini dapat dikembangkan ke seluruh negara dan menjadi contoh kepada negeri lain.

**media[3484087]**

Sementara itu, Dr Azhar berkata, Hospital Mesra Ibadah merupakan usaha berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan pesakit beragaam Islam dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna walaupun dalam keadaan sakit.

Menurutnya, konsep tersebut menekankan rawatan holistik yang mengintegrasikan aspek fizikal dan spiritual.

“Antara komponen utama termasuk bimbingan solat pesakit, pengurusan jenazah, khidmat nasihat agama serta penyediaan kemudahan ibadah.

“Kadangkala ketika sakit, pesakit terlepas pandang soal ibadah. Jadi program seperti ini membantu meningkatkan kesedaran dan memudahkan mereka melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata, kajian menunjukkan sokongan rohani mampu memberi ketenangan, mengurangkan tekanan serta mempercepatkan proses pemulihan pesakit.

Katanya, pelaksanaan Hospital Mesra Ibadah turut meningkatkan kualiti perkhidmatan berteraskan nilai Islam selain memastikan hak pesakit muslim untuk beribadah tidak diabaikan serta memenuhi tuntutan syariah.

“Inisiatif ini juga mampu meningkatkan imej hospital sebagai institusi kesihatan yang mesra dan prihatin, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Selain itu, katanya, ia turut menyokong dasar dan polisi KKM dalam penyediaan fasiliti, latihan kakitangan serta modul bimbingan rohani kepada pesakit.

Pada Selasa, pihak hospital menerima sumbangan wakaf daripada WUIF yang terdiri daripada naskhah al-Quran lengkap dengan panduan tajwid dan terjemahan untuk diagihkan ke wad, surau serta ruang menunggu waris.